Modenisasi kerja untuk kurangkan pekerja asing


TAHUN ini masuk tahun ke sepuluh saya menjadi penghuni Putrajaya. Walaupun sudah sedekad tetapi kekaguman terhadap pusat pentadbiran kerajaan ini tetap seperti hari pertama menjadi komuniti di situ. Malah, sehingga sekarang jika ada kelapangan saya masih gemar memandu sekitar kawasan perumahan dan kompleks pejabat bagi menikmati keindahan dan kehijauan landskapnya.


Mungkin tidak salah jika dikatakan Putrajaya adalah perbandaran paling cantik dan bersih di negara ini. Fizikal jalan rayanya juga adalah yang terbaik. Terima kasih kepada Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengilhamkan serta merealisasikan pembangunannya. Diharapkan Perbadanan Putrajaya akan terus memulihara keindahan dan kebersihan bandar itu.


Namun, di sebalik kekaguman ini, ada kala terlintas juga di fikiran apa agaknya akan terjadi kepada bandar kebanggaan rakyat Malaysia ini jika suatu hari nanti kerajaan negara asal pekerja asing tiba-tiba memutuskan memanggil pulang semua warga mereka yang bekerja di negara ini. Apa tidaknya, pekerja warga asing ketika ini seolah-olah nadi kepada keindahan dan kebersihan bandar yang menjadi tunggak pentadbiran negara ini. Mereka yang menyelenggara landskap indah sekitar bandar itu, dan mereka juga yang menjaga kebersihan bangunan pejabat di luar dan di dalam.


Malah, kawasan sekeliling rumah di Putrajaya juga tidak akan rapi tanpa khidmat warga asing. Tidak keterlaluan jika dikatakan, sekiranya pekerja warga asing ini mogok beberapa hari sahaja, Putrajaya yang terkenal dengan kehijauannya akan berubah wajah apabila landskap indahnya diliputi timbunan daun-daun kering, manakala sampah sarap tiada siapa yang mengutipnya.


Pergantungan kepada pekerja warga asing

Sebenarnya pergantungan kepada pekerja warga asing dalam kerja penyelenggaraan dan pembersihan ini bukan sahaja di Putrajaya, malah di semua bandar negara ini. Persoalannya sampai bila? Alasan yang kerap kita dengar, rakyat kita enggan melakukan kerja berkenaan.


Ini memang tidak dinafikan, tetapi dalam hal ini rakyat kita tidak boleh dipersalahkan. Tahap pendidikan di negara ini telah jauh meningkat. Sekarang ini jarang sekali kita dengar anak muda kita yang hanya bersekolah setakat Tahun Enam atau Tingkatan Tiga. Jika adapun atas masalah tertentu. Dengan pendidikan lebih tinggi tentunya mereka tidak akan memilih kerja sebagai tukang sapu atau pemotong rumput.


Namun, jika mahu menghapuskan pergantungan kepada warga asing dalam kerja sebegitu mahu atau tidak rakyat kita perlu mengisinya. Sesuatu perlu dilakukan untuk menarik mereka bekerja dalam bidang itu. Antara penyelesaiannya ialah memodenkan bidang pekerjaan berkenaan. Walaupun teknologi telah berkembang begitu pesat tetapi kerja pembersihan dan penyelenggaraan di negara ini masih pada takuk lama. Sebagai contoh, walaupun sekarang ini sudah ada jentera yang boleh menyedut daun kering tetapi kita masih menggunakan penyapu. Penggunaan teknologi moden tentunya akan meletakkan kerja penyelenggaraan atau pembersihan ke tahap baharu yang dapat menarik rakyat kita menyertainya kerana mereka tidak lagi dipanggil tukang sapu atau pemotong rumput tetapi operator atau juruteknik jentera.


Tetapi untuk memodenkan pekerjaan ini, transformasi perlu terlebih dahulu dilakukan terhadap industrinya. Penggunaan jentera serta teknologi memerlukan pelaburan modal besar dan ia cuma dapat dilakukan syarikat besar. Ketika ini peserta industri ini terdiri daripada beratus syarikat kecil yang menjadi kontraktor dengan pihak berkuasa tempatan.


Jika mahu memodenkannya, pendekatan sebegini perlu diubah. Kita mungkin hanya memerlukan beberapa sahaja syarikat tetapi bersaiz besar yang mampu melabur dalam jentera dan teknologi.


Mungkin ada akan berpendapat ini hanya akan menutup peluang peniaga kecil, tetapi jika difikirkan dari sudut lain - mana yang lebih baik, menyediakan peluang perniagaan kepada beberapa ratus peniaga kecil yang akan terus menggaji berpuluh ribu warga asing bergaji murah yang kemudian akan menghantar gaji ke negara asal atau memberikan kontrak kepada beberapa syarikat besar yang bakal menyediakan peluang pekerjaan bergaji lebih baik kepada beribu-ribu rakyat kita.


Oleh: Saidon Idris

Penulis adalah Pengarang Eksekutif Kanan Berita Harian


Sumber: Berita Harian


#evolusibina #pekerjaasing

How can we help you?

Take a moment to tell us about your services, products or marketing interest — we’re here to help.

Copyright © 2020 EvolusiBina. All rights reserved.