MN Holdings Bhd (MNHB) memperoleh kontrak utiliti bawah tanah bernilai RM26.9 juta di Kulim Hi-Tech Park, Kedah.
Anak syarikat pakar kejuruteraan utiliti bawah tanah dan substesen itu, Mutu Nusantara Sdn Bhd menerima surat penganugerahan daripada Pembinaan Tajri Sdn Bhd, yang melantiknya sebagai subkontraktor projek berkenaan.
Pembinaan Tajri adalah salah satu kontraktor utama dilantik oleh Nur Energy Services Sdn Bhd untuk melaksanakan projek terbabit.
Nur Energy adalah unit Nur Power Sdn Bhd, firma utiliti tenaga eksklusif bagi Kulim Hi-Tech Park.
Di bawah kontrak itu, Mutu Nusantara akan menyediakan kerja pembinaan penggerudian berarah mendatar bagi memasang kabel tenaga 132kV dan kabel fiber optik bagi menghubungkan kemudahan pengeluaran substrat litar bersepadu canggih perbadanan multinasional itu kepada substesen terlindung gas baharu.
Projek itu dijangka akan disiapkan pada Ogos 2023.
Pengarah Eksekutif MNHB, Datuk Clement Toh, berkata kontrak itu dijangka menyumbang kepada perolehan syarikat bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2023 dan 2024.
"Menuju ke hadapan, kami akan terus secara aktif terbabit dalam tender, sambil memanfaatkan trek rekod kukuh sepanjang 15 tahun lalu untuk mengukuhkan kedudukan dalam industri utiliti infrastruktur tenaga," katanya dalam satu kenyataan.
Dengan kontrak baharu yang dimenangi itu, nilai pesanan dalam tangan MNHB telah meningkat kepada RM218.9 juta.
Sumber: Berita Harian
Σχόλια