top of page

Menara MAHA mercu tanda baharu Langkawi


MENARA MAHA setinggi 138 meter bakal menjadi mercu tanda baharu Langkawi, Kedah - UTUSAN/NUR AMALINA AZMAN

LANGKAWI: Menara MAHA yang terletak di Persiaran Putra, Kuah di sini, menjadi mercu tanda baharu pulau peranginan ini apabila ia beroperasi pertengahan tahun ini.


Pembinaan menara setinggi 138 meter (m) di kawasan pinggir laut itu adalah satu projek ikonik Lembaga Pembangunan Langkawi (Lada) bagi menarik lebih ramai pelancong mengunjungi pulau ini.


Ketua Pegawai Eksekutif Lada, Nasaruddin Abdul Muttalib berkata, menara berasaskan konsep reka bentuk seni Islam itu dibina pada November 2014 dan siap Disember tahun lalu.


Menurutnya, pembinaan menara di kawasan seluas 18,494 meter persegi itu yang dikenali Dataran MAHA menelan belanja kira-kira RM140 juta.


“Antara tarikan yang disediakan di Menara MAHA adalah dek tinjauan dengan pemandangan 360 darjah bandar Kuah dengan nyalaan lampu berwarna-warni di menara pada waktu malam.


“Terdapat sebuah dataran berhampiran dengan keluasan kira-kira 46,451 meter persegi yang membolehkan pelbagai aktiviti atau program peringkat kebangsaan dan antarabangsa dapat dilaksanakan,” katanya di sini, semalam.


Nasaruddin berkata, menara tersebut mempunyai restoran yang boleh menempatkan 250 orang pada satu-satu masa di samping beberapa kemudahan lain.


Antara kemudahan yang disediakan ialah dewan majlis, dewan serbaguna, bilik persidangan, ruang pejabat, ruang perniagaan, surau, kaunter pertanyaan, muzium dan ruangan bazar.


Beliau memberitahu, menara itu juga salah satu daripada lima komponen Langkawi City iaitu Dataran MAHA, bangunan komersial, kediaman dan hotel, ruang perniagaan serta marina.


“Lima komponen tersebut dibina dalam empat fasa berperingkat iaitu fasa pertama adalah Menara MAHA dan Dataran MAHA, fasa kedua adalah bangunan komersial, fasa ketiga adalah kediaman dan fasa keempat melibatkan pembinaan hotel, villa persendirian, ruang perniagaan serta marina,” ujarnya.


11 views

Comentarios


bottom of page