JOHOR BAHRU – Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) memperuntukkan sebanyak RM9.15 juta bagi pelaksanaan pelbagai projek tebatan banjir di sekitar bandar raya ini, tahun ini.
Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Mohd. Noorazam Osman berkata, ketika ini, pihaknya sedang melaksanakan lapan projek tebatan air melibatkan kawasan penempatan penduduk.
Katanya, antara projek itu termasuklah pembinaan kolam takungan dan penjajaran semula Sungai Sebulong di Larkin Jaya dengan kos RM4.77 juta.
“Selain itu, projek naik taraf, pemasangan weir dan penggalian kolam takungan Maktab Perguruan Temenggong Ibrahim di Sungai Chat (RM1.2 juta); menggali mendakan kolam tadahan di Taman Desa Tebrau (RM0.98 juta) dan pembinaan pam tebatan banjir di Kampung Mohd. Amin (RM0.46 juta).
“Sementara itu, beberapa projek lain akan turut dilaksana tahun ini termasuklah penggalian dan pedalaman sungai di Sungai Ayer Molek; parit utama Abdul Samad; parit utama di Kempas dan parit utama di Bandar Jaya Putra,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Penuh MBJB, di sini hari ini.
Tambah Mohd. Noorazam, kesemua projek itu dilaksana sebagai persiapan pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan menghadapi musim banjir, hujung tahun ini.
Sementara itu, Mohd. Noorazam turut memberitahu pihaknya telah melaksanakan penambahbaikan terhadap perkhidmatan lesen perniagaan MBJB bermula bulan ini.
“Bermula Julai ini, MBJB telah melaksanakan pendaftaran lesen perniagaan secara ‘date to date basis’, berbeza berbanding sistem sedia ada iaitu secara tahunan.
“Dengan penambahbaikan ini, pemilik perniagaan tidak perlu lagi menunggu tempoh awal tahun untuk mendaftarkan perniagaan mereka, sebaliknya boleh berbuat demikian pada bila-bila masa sahaja,” ujarnya.
Tambah beliau, tempoh permohonan lesen perniagaan juga telah dilanjutkan daripada setahun kepada tiga tahun kepada individu yang layak.
Sumber: Kosmo!
MBJB peruntuk RM9.15 juta persediaan atasi banjir tahun ini
Comments