KUALA LUMPUR: Malaysia Steel Works Bhd (Masteel) menjadi pengilang keluli bersepadu dengan 'pelepasan karbon ultra rendah' yang pertama disenaraikan di Indeks FTSE4GOOD Bursa Malaysia selepas melabur lebih RM60 juta untuk pelbagai inisiatif mengurangkan pelepasan karbon dioksida (CO2) dalam operasinya.
Masteel memperoleh tiga daripada empat bintang dalam penilaian Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) dalam kalangan syarikat senaraian awam (PLC) dalam FBM EMAS, sekali gus meletakkan pengilang itu sebagai senarai utama daripada 26 hingga 50 peratus PLC yang dinilai oleh FTSE Russell.
Antara pencapaian utama lain, Masteel juga menurunkan pelepasan gas rumah kaca keseluruhannya (GHG) sebanyak 47 peratus dari tahun asas 2017 hingga 2021, terutamanya berkaitan dengan pengurangan skop 1 pelepasan dari proses pembuatan keluli akibat peralihan kepada Teknologi Pembuatan Keluli Baru bermula pada tahun 2018.
Kemudahan baharu Masteel juga mengurangkan input tenaga yang diperlukan daripada gas asli dan oksigen, selain menyiapkan pembinaan dinding tirai relau pemanasan semula untuk menurunkan penggunaan gas asli.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Masteel, Datuk Seri Tai Hean Leng, berkata pencapaian perintis pengilang itu dalam indeks berkenaan disumbangkan oleh komitmen, visi dan kejayaan syarikat itu dalam merevolusikan industri pembuatan keluli dalam proses pembuatan terasnya.
Katanya, kumpulan itu berhasrat untuk mengurangkan pelepasan tambahan sebanyak 10 peratus pada 2026 dan 15 peratus menjelang 2031.
"Kami melabur kira-kira RM60.66 juta untuk pelbagai inisiatif pengurangan CO2 ke arah matlamat kami untuk mengurangkan jumlah pelepasan CO2 sekitar 7,300 tan.
"Pada masa sama, kami juga akan memperluas sistem pemantauan pelepasan kami daripada Skop 1 dan 2 pada masa ini kepada Skop 3, untuk melaksanakan peningkatan tambahan secara sistematik dan mampan," katanya.
Masteel dimasukkan ke dalam Indeks FTSE4GOOD Bursa Malaysia serta Indeks FTSE4GOOD Bursa Malaysia SYARIAH, sekali gus menjadi antara 991 syarikat tersenarai awam di Malaysia untuk memenuhi piawaian sebagai komponen indeks FTSE Russell FTSE4Good.
Penilaian oleh FTSE4GOOD adalah berdasarkan maklumat yang terkandung dalam Laporan Kemapanan Masteel 2021 serta domain awam pada Oktober 2022.
Sumber: Berita Harian
Kommentare