top of page

Masalah budaya selenggara kelas ketiga


 Masalah budaya selenggara kelas ketiga Sinar Harian www.sinarharian.com.my
Gambar hiasan: Masalah budaya selenggara kelas ketiga

MENTERI Pengangkutan, Anthony Loke, Isnin lalu menyifatkan sistem pengangkutan awam di Malaysia masih berada di kelas ketiga walaupun negara kini mempunyai kemudahan infrastruktur kelas pertama.


Beliau merujuk kepada perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Kelana Jaya yang kerap tergendala akibat sistem yang usang.


Katanya, semua pengangkutan awam negara perlu membudayakan sistem penyelenggaraan agar teknologi kelas pertama yang dikecapi rakyat ketika ini tidak terkebelakang dalam tempoh 10 atau 20 tahun akan datang.


Sebenarnya, bukan sistem canggih LRT sahaja, banyak kemudahan awam lain daripada stadium, lif sehinggalah tandas awam tidak diselenggara dengan baik.


Di Selangor contohnya, Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri, Datuk Rizam Ismail baru-baru ini menyenaraikan beberapa aset milik kerajaan negeri yang mempunyai isu penyelenggaraan, antaranya bangunan Yayasan Selangor, Yayasan Asrama Toh Puan Norashikin, Hotel Carlton dan Stadium Shah Alam.


Beliau juga menyarankan supaya setiap projek atau bangunan baharu perlu disekalikan dengan amalan pengurusan dan penyelenggaraan aset.


Jika kemudahan bertaraf dunia seperti dikatakan Anthony Loke tidak dapat diselenggara dengan baik, apa lagi yang diharapkan kepada perumahan awam yang sering dianggap sebagai kelas kedua.


Isu kemudahan lif yang rosak dan berbahaya di Projek Perumahan Rakyat misalnya sudah bertahun-tahun dibangkitkan tetapi tidak pernah selesai.


Budaya menyelenggara perlu dijadikan perkara utama oleh pemilik kemudahan sama ada kerajaan mahupun swasta.


Kita tidak mahu kejadian dua penghuni patah kaki selepas lif yang dinaiki terjatuh dari tingkat lapan sebuah kondominium di Kuala Lumpur pada Oktober lalu berulang.


Budaya bertindak hanya apabila ada kemalangan atau kematian harus dihentikan. Audit penyelenggaraan perlu dilakukan segera khususnya oleh pihak berkuasa tempatan.


Antara punca mengapa Malaysia mempunyai budaya selenggara yang buruk ialah tiadanya sistem inventori yang berkesan untuk menyenaraikan perkara yang perlu diselenggara.


Untuk itu, jabatan kerajaan perlu ada pelan dan jadual penyelenggaraan yang komprehensif dan menyeluruh supaya penyelenggaraan dapat dilakukan secara berkala. Pematuhan kepada jadual itu pula penting, jangan sekadar ada jadual tetapi tidak diikuti.


Sumber: Sinar Harian


Comments


bottom of page