top of page

Malaysia, Thailand komited pergiat pembangunan infrastruktur di sempadan


Malaysia, Thailand komited pergiat pembangunan infrastruktur di sempadan Astro Awani www.astroawani.com
Saifuddin berkata ICQS Bukit Kayu Hitam dan dan CIQ Sadao sangat mustahak untuk meningkatkan hubungan jalan dan perdagangan sempadan Malaysia-Thailand. - Gambar fail/BERNAMA


BANGKOK: Malaysia dan Thailand komitted dalam mempergiatkan pembangunan infrastruktur di sempadan sebagai usaha untuk merancakkan perdagangan di sempadan dan sekaligus mencapai sasaran perdagangan dua hala sebanyak AS$ 30 billion menjelang 2025.


Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata Malaysia dan Thailand juga mahu pembinaan jajaran jalan menghubungkan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam dan Kompleks Kastam, Imigren dan Kuarantin (CIQ) Sadao di Songkhla, selatan Thailand dapat disegerakan.


"ICQS Bukit Kayu Hitam dan dan CIQ Sadao sangat mustahak untuk meningkatkan hubungan jalan dan perdagangan sempadan Malaysia-Thailand," katanya.


Selain itu, Saifuddin berkata Malaysia dan Thailand turut mengadakan perbincangan pembinaan projek jambatan persahabatan Rantau Panjang-Sungai Golok dan jambatan Pengkalan Kubor-Tak Bai.


"Projek ini masih dalam proses penilaian kawasan dan survei topografi.


"Kami berterima kasih kepada kerajaan Thailand yang sedia menanggung kos untuk membuat kajian tanah dan survei topografi," katanya.


Saifuddin yang kini dalam lawatan kerja dua hari ke Thailand telah melakukan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri Thailand Prayuth Chan o-cha di sini, hari ini.


Selain itu, beliau juga mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatnya Don Pramudwinai, yang juga Timbalan Perdana Menteri.


Saifuddin mengetuai delegasi negara ke Mesyuarat Ke-14 Suruhanjaya Bersama bagi Kerjasama Dua Hala (JC) dan Mesyuarat ke-5 Jawatankuasa Strategi Pembangunan Bersama bagi Kawasan Sempadan ( JDS).


Kali terakhir Malaysia dan Thailand mengadakan mesyuarat JC dan JDS adalah pada tahun 2015.


Saifuddin berkata Malaysia komitted untuk memainkan peranan sebagai fasilitator dalam rundingan damai bagi menamatkan konflik di selatan Thailand.


Kini, Malaysia memainkan peranan dalam rundingan damai selatan Thailand di mana bekas ketua polis negara Tan Sri Abdul Rahim Mohd Noor yang mewakili kerajaan Malaysia berperanan sebagai fasilitator.


Beliau berkata rundingan damai selatan Thailand berkemungkinan dilihat sebagai satu isu sensitif namun Malaysia dan Thailand merupakan negara jiran yang bersahabat tahu ia mesti diselesaikan dengan kedua-dua pihak yang mempunyai kefahaman yang mendalam antara satu sama lain," katanya.


Sementara itu, Saifuddin berkata Malaysia sedia menawarkan biasiswa bagi program Kerjasama Teknikal Malaysia (Malaysian Technical Cooperation Programme (MTCP) kepada pelajar-pelajar khususnya di selatan Thailand.


Sumber: Astro Awani

4 views

Commentaires


bottom of page