top of page

Mah Sing beli tanah di Setapak RM89 juta


Lokasi pembangunan bercampur M Astra - Foto Mah Sing

KUALA LUMPUR: Mah Sing Group Bhd membeli tanah perdana baharu di Mukim Setapak, Kuala Lumpur berkeluasan kira-kira lima ekar pada harga RM89 juta.


Tanah itu mempunyai tiga persimpangan berhadapan Jalan Usahawan 5, Jalan Kilang dan Jalan Usahawan 6, kira-kira 600 meter dari Jalan Genting Kelang yang juga jalan utama di Kuala Lumpur.


Pembelian terbaharu ini akan dinamakan sebagai M Astra, hanya kira-kira tiga kilometer dari projek M Adora di Wangsa Melawati yang mendapat sambutan baik dan ia disasar akan didaftar pada suku ketiga 2021.


Ia juga urus niaga tanah kedua Mah Sing tahun ini dan kumpulan akan terus meninjau lebih banyak lokasi strategik, dengan kawasan Greater Kuala Lumpur serta Lembah Klang menjadi tumpuan.


Berdasarkan pelan awal dan tertakluk kelulusan pihak berkuasan, M Astra yang mempunyai nilai pembangunan kasar (GDV) RM618 juta akan menjadi pembangunan bercampur merangkumi dua blok suite servis.


Projek itu dirancang mempunyai unit tiga dan empat bilik tidur, dengan binaan bermula 850 kaki persegi hingga 1,030 kaki persegi pada harga petunjuk bermula RM399,000.


Cadangan pembangunan bercampur itu juga menampilkan beberapa lot runcit dengan rancangan menempatkan cawangan pandu lalu makanan dan minuman (F&B).


Pengasas dan Pengarah Urusan Kumpulan Mah Sing, Tan Sri Leong Hoy Kum, berkata M Astra adalah urus niaga tanah kedua syarikat tahun ini, yang juga pembelian tanah bersaiz kecil pertama sejak membeli M Oscar, M Luna serta M Adora pada 2019.


"Semua projek itu kemudiannya dilancarkan antara tujuh ke 12 bulan dan kami menyasarkan tempoh yang sama untuk M Astra, dengan pendaftaran disasarkan pada suku ketiga 2021.


"Pembelian tanah M Astra ini tepat pada masanya ketika kami melihat pemulihan pasaran hartanah mula meraih momentum dan mahu memanfaatkan peluang ini untuk memenuhi keperluan pembeli rumah bagi projek berharga mampu milik," katanya dalam satu kenyataan.


Sumber: Berita Harian

Comments


bottom of page