top of page

Luahan pembaca: Jangan ambil masa terlalu lama baru bertindak


KEADAAN jalan raya berlubang dan tampalan tidak sempurna antara yang kerap ditemui di negara ini.


SAYA ingin memberi pandangan tentang ulasan video tular seorang penunggang motosikal dari luar negara yang mengkritik jalan raya di Peru lebih baik dari Malaysia walaupun negara tersebut kurang maju berbanding negara ini.


Secara ringkas dan umum, terdapat beberapa kategori jalan raya di Malaysia iaitu jalan raya dan lebuh raya. Jalan raya berturap seperti jalan kampung, jalan bandaran, jalan persekutuan dan lebuh raya yang berada di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT), negeri atau kerajaan Persekutuan.


Jika di Malaysia, sistemnya maju kerana semua tempat dan ceruk dapat dihubungi dengan jalan. Walau bagaimanapun, aspek kualiti yang dikritik. Pada pemerhatian saya, antara kualiti yang dipertikai adalah jalan berlubang, retak, tidak rata, terlalu nipis, tampalan tak sempurna dan tak tahan lama.


Bagi saya, faktor kontraktor membuat dan menyelenggara jalan memainkan peranan utama untuk mendapatkan kualiti yang baik bukannya cuaca. Menurut Pakar Keselamatan Jalan Raya, Profesor Madya Dr. Law Teik Hua, cuaca dan iklim suhu tinggi antara punca jalan raya mudah rosak. Air boleh menyerap melalui celah-celah antara agregat dan asfalt. Akibat tekanan tayar, bitumen jadi rapuh, retak seterusnya merosakkan jalan.


Jadi, pihak berkuasa perlu mengkaji cara untuk mengelakkan air masuk di celah agregat dan asfalt seperti menggunakan bahan lebih kuat dan adunan yang standard dan diterima pakai terutama untuk cuaca di Malaysia.


Semasa menurap, pihak berkaitan perlu memantau dan mengikut standard yang ditetapkan untuk memanjangkan jangka hayat. Seringkali, selepas jalan diturap, dalam beberapa jam lapisan tar pecah atau ada kesan tayar.


Seterusnya,lapisan tar itu akan hilang apabila hujan dan lubang kembali terbentuk. Tidakkah situasi ini membahayakan pengguna dan membazirkan kos.


Sudah sampai masa kerajaan negeri dan Persekutuan memandang berat aspek kualiti jalan raya. Kita tak boleh sekat pembangunan, namun jangan ambil masa terlalu lama baru bertindak.


ABDUL HAMID Temerloh


Sumber: Kosmo!

30 views

Коментарі


bottom of page