top of page

Loji metanol kedua bakal dibina


Loji metanol Sarawak
Pembangunan loji metanol yang kedua adalah hasil pelaburan swasta dan bukannya kerajaan.

Loji metanol Sarawak

KIDURONG: Keyakinan tinggi institusi kewangan terhadap kemampuan Sarawak menjadi pendorong kepada rancangan pembangunan projek loji metanol yang kedua.


Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, untuk pembangunan loji metanol yang kedua adalah hasil pelaburan swasta dan bukannya kerajaan.


“Selepas loji metanol satu beroperasi kelak, kita hendak bangunkan loji kedua. Dari sudut kewangan semua sudah disediakan.


“Ini pelaburan sektor swasta, bukan kerajaan.


Nampaknya, pihak institusi kewangan mempunyai keyakinan tinggi kepada usaha industri ini di Sarawak,” katanya.


Beliau berkata demikian selepas melawat ke Projek Loji Metanol Petchem Sarawak di sini, semalam.


Menteri di Jabatan Premier Sarawak Datuk John Sikie Tayai, Menteri Ultiliti dan Telekomunikasi Datuk Julaihi Narawi, Pengerusi Sarawak Petchem Sdn. Bhd.


Tan Sri Datuk Amar Dr Abdul Aziz Husain, Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan II (Pembangunan Pelabuhan) Majang Renggi, Adun Murum Kennedy Chukpai Ugon, Adun Jepak Datuk Talib Zulpilip, Adun Tanjong Batu Johnny Pang Leong Ming, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancang Ekonomi dan Pembangunan) Datuk Dr Muhammad Abdullah Zaidel dan Residen Bahagian Bintulu Nyurak Keti turut hadir sama.


Jelasnya, dengan penemuan kawasan baharu oleh pihak Petronas, (lapan daripada 10 adalah di Sarawak), diyakini simpanan gas mencukupi.


“Tetapi apa yang perlu, kita menggunakan teknologi terkini untuk menggalakkan aktiviti hiliran.


“Seperkara lagi kita akan membangunkan hab petrokimia secara berperingkat-peringkat… tidak dibangunkan seperti Pengerang, tetapi atas kemahuan dan pelaburan.


“Namun, infrastrukturnya akan kita sediakan secara berperingkat-peringkat,” ujarnya.


Memaklumkan status terkini pembangunan projek loji metanol satu, Abang Johari menyatakan setakat ini pelaksanaannya mengikut jadual.


“Ini tahun terakhir mereka membangunkan loji ini dan saya difahamkan pada April, mereka akan memulakan percubaan dengan gas yang akan disalurkan ke loji.


“Jika berjalan seperti dirancang, Sarawak akan memulakan pengeluaran metanol pada Januari tahun hadapan untuk pasaran,” tambahnya.


Antara lain beliau menyentuh rancangan untuk mempunyai jeti sendiri bagi membolehkan kapal tangki teknikal membawa metanol ke pasaran.


“Di samping itu, melalui Sarawak Petchem kita dapat melatih pekerja untuk industri yang agak canggih seperti petrokimia.


“Begitu juga dapat menaikkan jaringan Internet dan digital di kawasan ini, yang akan dipasang sambungan rangkaian 5G dengan sasaran menjelang 2024.


“Malah sekarang pun sudah dipasang di beberapa kawasan dan ini bermakna tahun hadapan seluruh Kidurong, Samalaju dan sebahagian Bintulu akan dinaik taraf kepada 5G, dengan harapan ia dapat ditingkatkan lagi pada kelajuan yang lebih tinggi memandangkan kawasan ini penting untuk ekonomi Malaysia, lebih-lebih lagi Sarawak,” tegasnya.


Sumber: Sarawak Voice


5 views

Comments


bottom of page