top of page

LLM, PCSB bangunkan sistem pengurusan lebuh raya pintar


Gambar hiasan

Kuala Lumpur: Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan Prosignal Consortium Sdn Bhd (PCSB) bekerjasama membangunkan sistem pengurusan lebuh raya pintar menerusi aplikasi telefon pintar.


Dalam melaksanakan perkara itu, LLM menandatangani memorandum persefahaman (MoU) untuk membangunkan sistem pengurusan lebuh raya pintar yang berkonsepkan Smart Highway.


LLM dalam kenyataan memaklumkan kerjasama itu adalah strategi pihaknya bagi mendepani cabaran era digital dalam industri lebuh raya dan untuk memenuhi keperluan serta jangkaan pengguna lebuh raya.


"Menerusi MoU ini, ia diharapkan dapat memberikan percambahan idea-idea baharu sebagai nilai tambah dalam meningkatkan perkhidmatan kepada pengguna lebuh raya," menurut kenyataan itu.


Menurutnya, kerjasama berkenaan satu daripada inisiatif yang digariskan dalam Pelan Strategik Bisnes LLM Malaysia 2021-2025 yang dilancarkan Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof tahun lalu iaitu dalam aspek pemerkasaan pendigitalan aspek pemantauan operasi dan pembinaan lebuh raya menerusi aplikasi Revolusi Industri 4.0.


"Pendigitalan operasi dan pusat data serta penyeragaman sistem pengurusan lebuh raya akan memudahkan pihak LLM dalam menyalurkan maklumat dan informasi yang lebih pantas dan tepat kepada pengguna lebuh raya.


"Menerusi konsep lebuh raya pintar yang diketengahkan, ia akan membabitkan pembangunan aplikasi telefon pintar untuk operasi lebuh raya dan juga sistem pengurusan aset lebuh raya yang komprehensif dan sistematik bagi tujuan reka bentuk, pembinaan dan penyelenggaraan lebuh raya," katanya.


Katanya, aplikasi telefon pintar itu berfungsi untuk menyalurkan maklumat berkaitan situasi trafik di lebuh raya secara masa nyata kepada pengguna bagi membolehkan mereka merancang perjalanan dan mengelak daripada kesesakan lebuh raya serta perjalanan lebih lancar.


"Ia juga menyediakan kemudahan seperti e-dompet dan ciri tambahan seperti perkongsian kenderaan untuk kemudahan orang ramai.


"Penggunaan teknologi Internet benda (IoT) dalam pemantauan pembinaan, operasi dan penyelenggaraan aset lebuh raya juga akan meningkatkan tahap kecekapan dalam memastikan pengurusan aset lebuh raya lebih teratur," katanya.


Sumber: Harian Metro

18 views

Comments


bottom of page