PUTRAJAYA: Kelulusan lima projek bernilai RM650 juta di bawah Kementerian Pengangkutan yang diluluskan tanpa tender oleh pentadbiran sebelum ini, digantung dan akan dibuka semula secara tender terbuka atau tender terhad.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata kementerian itu sudah menyemak lima projek berkenaan.
Katanya, ia membabitkan Kerja Penstabilan dan Re-Profile Cerun di Landasan Kereta Api Pahang (Mentakab-Merapoh); Kerja Penstabilan dan Re-Profile Cerun di Landasan Kereta Api Kelantan (Gua Musang-Tumpat) Pelantikan Juruperunding Pemeriksaan Bebas bagi Projek Menaik-taraf Landasan Kereta Api Berkembar Elektrik di Lembah Kelang Fasa 2 (KVDT2); Landasan Pantai Timur - Pemuliharaan Landasan Gua Musang-Tumpat dan Baik-pulih Kerosakan Akibat Banjir (Pakej C); dan Landasan Pantai Timur – Membaik-pulih dan Menaik-taraf Landasan Gemas – Mentakab (Pakej A).
"Selari dengan pendirian kerajaan baharu untuk tidak lagi melaksanakan kelulusan perolehan tanpa tender, Kementerian Pengangkutan membuat semakan semula serta bersetuju, agar lima projek pembangunan di bawah kementerian ini yang membabitkan anggaran nilai kontrak keseluruhan hampir RM650 juta dilaksanakan secara tender terbuka atau tender terhad.
"Terdahulu, kelima-lima projek itu diluluskan untuk dibuat perolehan secara rundingan terus, namun, Surat Setuju Terima belum dikeluarkan," katanya semalam.
Anthony berkata, pelaksanaan perolehan secara tender itu juga selaras dengan komitmen Kerajaan Perpaduan untuk mengehadkan amalan tender secara rundingan terus.
Sumber: Berita Harian
Comments