top of page

Landasan rosak, projek tepi landasan tidak dapat kebenaran APAD


stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Bandaraya
"...projek berkenaan juga tidak mendapatkan kelulusan membangun daripada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD)"

stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Bandaraya

KUALA LUMPUR: Sebuah projek pembinaan hotel 44 tingkat dipercayai menjadi penyebab kerosakan berhampiran landasan stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Bandaraya sehingga menjejaskan perkhidmatan itu.


Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata projek berkenaan juga tidak mendapatkan kelulusan membangun daripada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).


Ini kerana, katanya, Mengikut Seksyen 8, Peraturan-Peraturan Kereta Api (Zon Perlindungan Kereta Api) 1998, sebarang projek pembinaan di zon keselamatan kereta api perlu mendapatkan kelulusan daripada APAD sebelum kebenaran dikeluarkan agensi itu selepas siap kajian.


Mengikut syarat ditetapkan APAD, asas kerja yang dilakukan di penimbal (buffer) pertama perlu mematuhi jarak 60 meter daripada pier, sementara penimbal kedua mesti berkedudukan 45 darjah daripada cerucuk.


Prosedur merangkumi pelbagai aspek seperti teknikal dan geoteknik itu bagi melihat dan memastikan tiada implikasi terhadap infrastruktur ataupun terhadap keselamatan kereta api.


Katanya, pembinaan yang dibina berdekatan dengan zon keselamatan kereta api perlu mendapatkan daripada APAD terlebih dahulu sebelum memulakan projek pembinaan.


"Sudah tentu kita berasa kesal dengan kejadian yang berlaku ini, yang menyebabkan projek pembinaan dimulakan tanpa kebenaran dan kelulusan daripada APAD.


"Ini memberikan kesan kepada kita dan kesan kepada pengguna dan penumpang kerana gangguan yang disebabkan ini menyebabkan kerosakan sistem. Ini kerana kerosakan struktur yang disebabkan projek pembinaan dipercayai bersebelahan stesen LRT Bandaraya.


"Jadi ini sesuatu yang kita perlu lebih tegas pada masa akan datang dan kita juga mengharapkan semua pihak berkuasa tempatan yang bertanggungjawab meluluskan apa-apa projek pembangunan, juga perlu merujuk kepada APAD sekiranya kawasan pembinaan berdekatan mana-mana infrastruktur atau dalam zon keselamatan kereta api," katanya pada sidang media di lobi Dewan Rakyat hari ini.


Mengenai perkembangan siasatan, Loke berkata kerosakan struktur 'viaduct' dan 'pier' yang retak mengakibatkan ganggu perkhidmatan di antara stesen LRT Masjid Jamek dan stesen LRT Bandaraya sejak 27 Januari lalu, selesai dijalankan oleh perunding kejuruteraan Arup Jururunding Sdn Bhd.


Ia turut dipantau pihak Prasarana, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).


Jelasnya, dapatan hasil siasatan menunjukkan kerosakan pada tiga struktur viaduct dan pier diakibatkan pergerakan tanah, yang dipercayai daripada kerja-kerja di tapak pembinaan bersebelahan.


Sehubungan itu, beliau berkata Prasarana dalam proses melantik kontraktor bagi menjalankan kerja-kerja baik pulih yang akan bermula pada awal bulan depan dan dijangka mengambil masa sehingga tujuh bulan.


"Tempoh ini merangkumi dua bulan untuk kerja-kerja baik pulih sementara bagi mengukuhkan struktur dan lima bulan untuk kerja-kerja baik pulih secara menyeluruh.


"Kerj-kerja baikpulih tersebut akan mengambil masa kerana siasatan menunjukkan kerosakan kepada struktur yang terjejas menimbulkan risiko keselamatan yang amat serius," katanya.


Bagi melancarkan operasi rel, beliau mengarahkan Prasarana untuk mengambil langkah-langkah mitigasi bagi mengurangkan gangguan perkhidmatan kepada pengguna.


Ia selepas Transit Aliran Massa (MRT) Laluan Putrajaya dibuka sepenuhnya, maka pengguna Laluan Ampang dan Sri Petaling akan mempunyai alternatif untuk ke pusat bandar melalui stesen pertukar seperti di Chan Sow Lin, Titiwangsa dan Sungai Besi.


Selain itu, perkhidmatan bas perantara juga akan diteruskan.


Mengulas sama ada akan mengambil tindakan terhadap syarikat pemaju berkenaan, Anthony berkata pihaknya mengambil serius perkara ini gangguan memberi kesan kritikal kepada ratusan ribu penumpang.


"Oleh sebab itu selepas semua siasatan terperinci dilaksanakan, kita akan melihat kemungkinan tindakan undang-undang akan diambil.


Beliau berkata Prasarana ada hak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang bertanggungjawab termasuk membuat tuntutan dari segi kos.


Sumber: Berita Harian


Comments


EvolusiBina evolusi bina CIDB JKR Tender Projek ccd cpd cep point kontraktor

Let's Collaborate!

Want to get in touch? We'd love to hear from you.

Copyright © 2025 EvolusiBina. All rights reserved.

bottom of page