top of page

Labur RM680 juta untuk Projek Kertih



SYARIKAT pembinaan dan pembangunan hartanah, MGB Berhad melabur RM680 juta dalam pembangunan projek di Taman Perindustrian Kertih Terengganu (KTIP).


Pengarah Urusan Kumpulan MGB Berhad, Datuk Joey Lim Hock Guan berkata, projek yang dikenali sebagai Projek Kertih itu merupakan sebahagian daripada KTIP yang akan menjadi kompleks kilang penapisan bio generasi kedua terbesar di Asia di atas tapak berkeluasan 407 hektar.


Beliau berkata, majlis perasmian antara MGB Berhad yang juga anak syarikat kepada LBS Bina Group Berhad itu diadakan selepas kedua-dua pihak termasuk Terengganu Incorporated (Terengganu Inc) menandatangani perjanjian itu pada awal September tahun lalu.


"MGB Berhad melalui anak syarikat milik sepenuhnya, MGB Construction & Engineering Sdn Bhd (MGBCE) sebelum ini menandatangani perjanjian pembinaan secara keseluruhan dengan Retro Court Sdn Bhd bagi pembangunan Projek Kertih.


"Selaku kontraktor keseluruhan, MGBCE akan melaksanakan keseluruhan reka bentuk, pembiayaan, pembinaan dan penyelesaian, penjualan serta pemasaran di samping pengurusan kredit Projek Kertih.


"Anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) bagi Projek Kertih adalah RM680 juta dan di Zon Ekonomi Khas Wilayah Ekonomi Pantai Timur, KTIP diakses secara strategik dengan infrastruktur dan fasiliti sedia ada seperti loji pemprosesan gas, loji penapisan minyak dan pelabuhan (Pelabuhan Kemaman dan Pelabuhan Kertih)," katanya.


Majlis berkenaan dirasmikan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.


Hadir sama, Presiden dan Pengarah Eksekutif Terengganu Inc, Burhanuddin Hilmi Mohamed, Ketua Pegawai Eksekutif MGB Berhad, Datuk Richard Lim Lit Chek dan Pengarah Retro Court Sdn Bhd, Datuk Hendri Dahlan.


Joey berkata, bagi menggalakkan pembangunan KTIP, kerajaan menawarkan insentif cukai kepada pelabur.


Katanya, ketika ini, pelabur sedia ada di KTIP termasuk Arkema Thiochemicals Sdn Bhd dan CJ Bio Malaysia Sdn Bhd manakala syarikat biokimia yang berpangkalan di Amerika Syarikat, Gevo sedang membina loji bernilai kira-kira RM2.1 bilion.


Sementara itu, Burhanuddin Hilmi berkata, projek kerjasama antara Terengganu Inc serta anak syarikat kumpulan, TI Properties bersama MGB Berhad bakal mengubah landskap serta sosioekonomi penduduk setempat.


Beliau berkata, lokasi strategik KTIP berada di dalam hab bioekonomi bersepadu membabitkan industri bio-polimer dan produk kimia berasaskan bio


"Ini memberi akses kepada infrastruktur dan fasiliti sedia ada seperti loji pemprosesan gas dan loji penapisan minyak.


"KTIP juga mempunyai kemudahan logistik penting di wilayah Pantai Timur melalui Pelabuhan Kemaman dan Kertih termasuk Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang bakal menghubungkan bandar-bandar utama di Pantai Timur.


"Ia juga dapat menambah baik kesalinghubungan ke Pantai Barat melalui Kelantan, Terengganu, Pahang, Negeri Sembilan, Putrajaya dan Selangor," katanya.


Sumber: Harian Metro

Opmerkingen


bottom of page