top of page

KPLB berjaya capai sasaran laksana projek sepanjang 2022


KPLB berjaya capai sasaran laksana projek sepanjang 2022 Berita Harian www.bharian.com.my
Gambar hiasan: KPLB berjaya capai sasaran laksana projek sepanjang 2022

KUALA LUMPUR: Walaupun masih berbaki empat bulan sebelum berakhirnya tahun ini, namun Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) sudah berjaya mencapai sasaran melaksanakan sebahagian besar projek pembangunan dirancangnya sepanjang 2022.


Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata ia membabitkan projek infrastruktur termasuk jalan perhubungan desa, jalan kampung, bekalan air luar bandar, bekalan elektrik luar bandar dan kemudahan sosial.


Beliau bagaimanapun berkata, walaupun berjaya mencapai sasaran, anggota pentadbiran dan kakitangan KPLB diingatkan terus bekerja keras melaksanakan baki tugasan yang masih ada.


"Saya percaya banyak pencapaian program dan projek KPLB yang mencapai sasaran ditetapkan sehingga kini.


"Namun saya berdoa kita semua terus diberi kekuatan melaksanakan semua tugas dan tanggungjawab yang sudah diamanahkan," katanya berucap pada majlis Perhimpunan bulan Ogos KPLB di Ibu Pejabat kementerian itu, di sini, hari ini.


Hadir sama, Timbalan Menteri KPLB, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad; Ketua Setiausaha KPLB, Datuk Ramlan Harun dan pengurusan tertinggi serta warga kerja pelbagai peringkat KPLB.


Pada majlis itu, Mahdzir turut melancarkan Sambutan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang Peringkat KPLB.


Melalui Bajet 2022 yang dibentangkan Oktober lalu, KPLB menerima peruntukan RM10.53 bilion bagi pelaksanaan projek pembangunan di kawasan luar bandar.


Pada masa sama, Mahdzir berkata, bagi mana-mana program dan projek yang masih belum mencapai garis masa ditetapkan, langkah mengatasinya perlu dilakukan segera.


"Saya percaya setiap apa yang kita lakukan bertujuan memakmur dan memajukan rakyat khususnya masyarakat luar bandar dan negara amnya," katanya.


Sementara itu, Mahdzir turut mengingatkan warga kerja KPLB lebih berhati-hati dengan sebaran berita palsu di media sosial yang boleh memecah-belahkan rakyat.


Ini kerana, katanya, sehingga kini masih wujud unsur negatif dalam kalangan masyarakat di negara ini yang boleh menggugat ketenteraman dan kesepakatan antara satu sama lain.


Beliau berkata, unsur negatif itu disebarkan khususnya melalui era media sosial tiada sempadan yang terdedah kepada anasir jahat serta berita palsu.


"Sebagai warganegara bertanggungjawab, kita wajar menolak fahaman sempit yang boleh memecahbelahkan masyarakat, dan tetap berpegang kepada prinsip bertolak-ansur dan hormat-menghormati antara satu sama lain," katanya.


Sumber: Berita Harian


5 views
bottom of page