top of page

Kontraktor mahu kegiatan ekonomi tetap diteruskan


Gambar hiasan (Sumber: Berita Harian)

KUALA LUMPUR: Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia (PKBM) meminta kerajaan terus memberi kebenaran operasi aktiviti ekonomi ketika tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0, termasuk di Selangor.


Presidennya, Datuk Azman Yusoff, berkata saranan dibuat kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang meminta agar semua sektor terutama ekonomi di Selangor ditutup, hanya akan memberi kesan negatif yang sangat mendalam.


"PKP 3.0 agak berbeza kali ini dengan sektor ekonomi dibenarkan dengan prosedur operasi standard (SOP) yang lebih ketat dan dengan adanya peningkatan jumlah kes baharu serta varian yang lebih 'ganas' menyerang kita.


"Ini amat memeritkan semua golongan yang mahu meneruskan kelangsungan hidup dalam keadaan ekonomi yang makin bertambah baik.


"Dengan unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 6.0 hingga 7.5 peratus tahun ini, jadi sektor ekonomi seharusnya diteruskan dengan SOP diperketatkan," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.


Azman berkata, jika PKP diteruskan dengan penutupan sektor ekonomi, ia akan memberikan tekanan kepada semua peniaga, sektor dan industri tidak kira apa jenis perniagaan sekali pun.


"Pekerja sudah tentu mahukan gaji mereka terus dibayar, pemilik premis mahukan sewa terus dibayar, pihak bank dan institusi kewangan yang lain juga mahukan pinjaman mereka dibayar. Jadi, bermacam implikasi negatif akan timbul jika ekonomi ditutup.


"Tahun ini pertumbuhan industri pembinaan sedang dalam episod pemulihan dan banyak projek sedang diteruskan termasuk kerja-kerja penyelenggaraan jalan raya, lebuh raya, dan kemudahan," katanya.


Beliau menjelaskan, PKBM sentiasa mengingatkan ahlinya agar mematuhi semua SOP yang ditetapkan dan menerapkan keutamaan Keselamatan & Kesihatan di tapak pembinaan serta tempat tinggi pekerja.


"Kami menyokong saranan kerajaan agar tidak menutup sektor ekonomi dan merayu kepada semua pihak agar sama-sama memainkan peranan sebaik mungkin bagi memutuskan rantaian COVID-19," katanya.


Sumber: Berita Harian

5 views
bottom of page