top of page

KKR salurkan maklumat penender kepada SPRM jika ada aduan


KKR salurkan maklumat penender kepada SPRM jika ada aduan Berita Harian www.bharian.com.my
Gambar hiasan: KKR salurkan maklumat penender kepada SPRM jika ada aduan

KOTA TINGGI: Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof menegaskan sekiranya ada pihak tidak berpuas hati terhadap penender, pihaknya terbuka untuk memanjangkan aduan berkenaan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk siasatan lanjut.


Ini kerana kementerian tidak ada apa yang ingin disembunyi sebaliknya telus dengan proses tender untuk sesuatu projek.


"Setakat ini, kita memang telus walaupun ada aduan dan kalau ada aduan ketidakpuasan hati (terhadap) pihak-pihak penender, kita akan panjangkan kepada SPRM untuk mereka membuat siasatan.


"Ia bagi menentukan sama ada proses tender itu mungkin ada yang tidak mematuhi garis panduan dan sebagainya," katanya pada sidang media sempena program turun padang sempena jelajah FTRoadpedia Kementerian Kerja Raya (KKR) hari ini.


Respon beliau itu berhubung iktibar yang boleh diambil KKR susulan kontroversi kapal pesisir tempur (LCS) yang gagal disiapkan mengikut tempoh ditetapkan.


Mengulas lanjut, Fadillah berkata proses perolehan sesuatu projek bukan urusan remeh sebaliknya ia perlu melalui pelbagai kerenah seperti garis panduan yang ditentukan oleh Kementerian Kewangan.


Katanya, ia sama ada membabitkan tender terbuka, prakelayakan atau rundingan langsung yang turut termaktub kepada tatacara.


Dalam tatacara itu, jelasnya mengandungi jawatankuasa tender dan jawatankuasa pemilih yang setiap daripadanya dianggotai pihak berlainan demi memastikan ketelusan.


"Apabila jawatankuasa tender memutuskan, kena rujuk balik kepada Kementerian Kewangan untuk keputusan terakhir," katanya.


Berhubung urusan pelaksanaan kontrak, Fadillah berkata pihaknya tidak boleh memberi jaminan ia akan berjalan lancar tanpa masalah.


Ini kerana, jelasnya pada waktu pihaknya membuat penilaian, kontraktor yang dipilih didapati tiada masalah dari sudut teknikal dan kewangan tetapi kontraktor berkenaan tiba-tiba mungkin menghadapi masalah ketika melaksanakan projek yang diberikan.


"Ini semua keadaan-keadaan yang memungkinkan berlaku masalah pada kontrak. Bila kita buka semula (sektor), kita menghadapi pula cabaran untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP). Ia adalah kos tambahan kepada kontraktor.


"Kemudian barang-barang naik harga. Dulu tender dengan kadar yang lain. Sekarang kadar lebih tinggi. Jadi macam mana kerajaan nak bantu memastikan projek itu dapat siap," katanya.


Walaupun kerajaan memperkenalkan Syarat Perubahan Harga (VOP) supaya kontraktor boleh membuat tuntutan mengikut kadar harga, beliau berkata ia cuma mengandungi 15 bahan binaan sahaja.


Timbul pula masalah lain kemudiannya, apabila sempadan dibuka menyebabkan ramai pekerja asing pulang ke negara masing-masing dan apabila hendak kembali semula ke negara ini menjadi isu.


"Isu kekurangan pekerja jadi cabaran. Sebab itu kadang-kadang projek ini waktu penilaian, ...ia okay tetapi bila pelaksanaan mungkin ada cabaran serta kontraktor tak dapat laksanakan," katanya.


Sumber: Berita Harian

4 views

Comments


bottom of page