KUALA LIPIS: Kementerian Kerja Raya (KKR) menggerakkan semua jentera di peringkat daerah, negeri dan Persekutuan, selain mengoperasikan semula Bilik Gerakan Bencana (BIGBEN) KKR untuk memantau perkembangan kejadian banjir dari semasa ke semasa.
Menterinya, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata BIGBEN KKR, antara lain akan berfungsi untuk mengkoordinasi semua jalan raya bagi memastikan kemudahan itu sentiasa boleh dilalui, khususnya bagi pasukan penyelamat dan semua pihak yang membantu sepanjang tempoh banjir berlaku.
"Kita akan maklumkan mengenai laluan alternatif dan maklumat jika ada jalan raya yang dikenal pasti terjejas akibat banjir atau lokasi terputus hubungan," katanya pada sidang media Jelajah FTRoadPedia Zon Timur, di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Setiausaha KKR, Datuk Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman serta Timbalan Ketua Setiausaha KKR, Datuk Ahmad Nadzri Embong dan Datuk Zahrul Hakim Abdullah.
Hadir sama, Ketua Pengarah Kerja Raya, Datuk Seri Mohamad Zulkefly Sulaiman; Ketua Eksekutif Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), Datuk Ahmad 'Asri Abdul Hamid dan Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Datuk Mohd Shuhaimi Hassan.
Terdahulu, Fadillah melawat kawasan runtuhan jambatan di laluan FT218, seksyen 24.8, Jalan Lama Bentong-Raub, akibat hujan lebat, Februari lalu.
Struktur itu digantikan dengan Jambatan Bailey, membabitkan kos bernilai RM10 juta dan dibuka kepada umum, pada 4 Mac lalu.
Beliau juga meninjau projek baik pulih kawasan runtuhan cerun di Jalan Persekutuan FT08 Seksyen 85.7 Jalan Bentong-Gua Musang, daerah Lipis, Pahang, yang dilaksanakan Disember lalu, dengan kos RM4.5 juta.
Fadillah berkata, KKR turut menjalinkan kerjasama erat dengan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk mencari penyelesaian terbaik bagi insiden runtuhan jalan raya berhampiran tebing sungai akibat hakisan dan pergerakan tanah.
Selain itu, katanya, KKR turut membuat kerja pembaikan dan tindakan pencegahan ke atas 1,474 cerun di seluruh negara, yang mempunyai tahap bahaya sederhana hingga sangat tinggi dan mungkin terjejas akibat musim tengkujuh.
Mengenai Jelajah FTRoadPedia Zon Timur, Fadillah berkata, beliau bersama pengurusan tertinggi semua agensi di bawah KKR dijadual untuk meninjau keadaan infrastruktur, membabitkan kerja baik pulih jalan raya, cerun dan jambatan pascabanjir, baru-baru ini.
"Siri jelajah kali ini akan memfokuskan kawasan di Pahang, Kelantan dan Perak, diikuti Zon Selatan yang dijadual berlangsung minggu depan. Sebelum ini, program sama dijalankan di Sabah dan Sarawak.
"Alhamdulillah, beberapa kerja (baik pulih jalan raya, cerun dan jambatan) sudah selesai dan diharap selepas ini insiden tanah runtuh akan berkurangan, terutama di kawasan yang kerap dilanda banjir," katanya.
Sumber: Berita Harian
Comments