top of page

Kerja baik pulih cerun RM3 juta


Kerja baik pulih cerun RM3 juta Harian Metro www.hmetro.com.my
Kerja-kerja pembaikan cerun yang runtuh giat dijalankan di Taman Bukit Berlian. FOTO AZRUL EDHAM

Seremban: Kerja menstabilkan cerun sepanjang kira-kira 80 meter yang runtuh di Jalan Berlian 5, Taman Bukit Berlian, di sini, pada 1 Disember lalu sudah dimulakan semalam.


Ahli Dewan Undangan Negeri Lobak Chew Seh Yong berkata, kerajaan negeri memperuntukkan RM3 juta bagi menstabilkan 120 meter cerun di kawasan berkenaan.


"Kira-kira seminggu selepas kejadian ini berlaku pada awal bulan lalu, kerajaan negeri meluluskan peruntukan sebanyak RM3 juta bagi kerja menstabilkan cerun yang runtuh dan kawasan sekitar cerun belum runtuh.


"Kerja membaik pulih sudah bermula semalam selepas kontraktor dilantik. Ia memakan masa sekurang-kurangnya tiga bulan untuk siap sepenuhnya," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.


Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sembilan pada 2 Disember lalu mengisytiharkan lokasi kejadian cerun runtuh di Taman Bukit Berlian sebagai kawasan bencana.


Pengerusinya Datuk Dr Razali Ab Malik dilaporkan berkata, penilaian awal Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia mendapati masih berlaku pergerakan tanah dan berisiko kepada penduduk.


Chew berkata, seramai 47 penduduk dari 12 unit rumah di jalan berkenaan sudah berpindah ke rumah sewa ketika ini.


"Mereka sudah mendapatkan rumah sewa untuk tinggal sementara waktu sebagai langkah berjaga-jaga memandangkan kawasan berkenaan berisiko lebih-lebih lagi dengan keadaan hujan ketika ini.


"Mereka memberi kerjasama yang baik, malah saling membantu mencari rumah sewa. Kerajaan negeri menanggung bayaran bulanan penempatan sementara itu," katanya.


Sumber: Harian Metro


5 views
bottom of page