top of page

Kerajaan tidak lupa kontraktor G1, G2, G3



KUALA LUMPUR: Sehingga 30 November lalu, sebanyak 8,157 daripada 8,559 projek ditawarkan kepada kontraktor kelas G1, G2 dan G3 di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE).


Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, bagi projek di bawah Prihatin yang melibatkan 4,658 projek, 3,758 projek telah selesai ditawarkan kepada kontraktor kelas sama.


Beliau berkata, kerajaan memperuntukkan RM69 bilion untuk perbelanjaan pembangunan dalam Belanjawan 2021, 45 peratus daripadanya adalah projek sambungan manakala 55 peratus lagi untuk projek baharu.


“Peranan perbelanjaan sektor awam adalah kritikal dalam tempoh ini apabila pihak swasta termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menghadapi cabaran untuk menggerak dan memulihkan ekonomi.


“Bagi 3,834 projek sambungan, tidak ada masalah dalam melaksanakan projek-projek ini.


Bagaimanapun, bagi 2,558 projek baharu adalah penting perancangan awal dibuat untuk memastikan pelaksanaan pada tahun 2021 adalah lancar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Dalam pada itu, Mustafa berkata, Mesyuarat Pelan Perancangan Pelaksanaan Projek Pembangunan bagi tahun 2021 yang dipengerusikan bersama olehnya dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali telah diadakan hari ini.


Jelasnya, mesyuarat itu bagi mengenal pasti kaedah untuk mempercepat pelaksanaan projek-projek sambungan dan memastikan projek-projek baharu dapat segera dilaksanakan pada tahun hadapan.


“Kerajaan mendapati langkah-langkah yang diambil untuk mempercepat perbelanjaan peruntukan pembanguban melalui kelonggaran beberapa peraturan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) memberi kesan positif kepada pelaksanaan projek.


“Mesyuarat hari ini telah mengenal pasti beberapa langkah penambahbaikan dan kelonggaran prosedur tersebut yang akan diteruskan pada tahun 2021,” jelasnya.


71 views
bottom of page