Kerajaan teruskan projek infrastruktur di Terengganu
- Ridhwanisme
- Oct 18, 2021
- 2 min read

KUALA TERENGGANU: Kerajaan optimis untuk meneruskan beberapa projek infrastruktur menerusi Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12) bagi mempercepatkan pembangunan sosioekonomi di Terengganu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata beberapa projek sedia ada akan diteruskan seperti projek pembangunan Taman Industri Polimer di Kerteh, menaik taraf jalan Persekutuan FT237 (dari susur keluar Chukai menuju ke FT003) Kemaman dan projek jalan raya Simpang Pulai-Gua Musang-Kuala Berang.
Beliau berkata, kerajaan juga komited untuk menyediakan peruntukan bagi pelaksanaan projek berimpak tinggi sekurang-kurangnya 50 peratus daripada peruntukan pembangunan asas akan diperuntukkan kepada enam negeri iaitu Kedah, Kelantan, Perlis, Sabah, Sarawak dan Terengganu.
Katanya, ia bagi meningkatkan ketersambungan dan akses yang lebih baik kepada infrastruktur asas, emeniti dan perkhidmatan.
"Mengenai jumlah peruntukan pembangunan bagi Terengganu pada tahun depan, ia belum dimuktamadkan cuma projek sambungan akan diteruskan.
"Yang pertama saya nak maklumkan sebahagian besar peruntukan diluluskan (adalah) projek sambungan di Terengganu seperti Hospital Kemaman dan Dungun serta beberapa projek berkaitan tebatan banjir.
"(Secara keseluruhannya), kebanyakan peruntukan tahun depan sebahagian besarnya (adalah) projek sambungan yang sebelum ini tergendala kerana COVID-19 membabitkan peruntukan RM1.36 bilion yang diperuntukkan Kerajaan Pusat untuk Terengganu tahun lalu," katanya ketika ditemui selepas Sesi Libat Urus Pasca RMK-12 di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.
Menerusi sesi libat urus itu, Mustapa berkata, isu pertanian, pembangunan pulau membabitkan penyediaan bekalan elektrik di pulau peranginan, terutama di Pulau Perhentian dan Pulau Redang serta kesihatan antara isu yang dibincangkan dalam pertemuan berkenaan.
Katanya, ia antara tiga perkara utama yang dibangkitkan kerajaan Terengganu, selain berkaitan sasaran kadar pertumbuhan ekonomi Terengganu berbanding kadar pertumbuhan peringkat nasional.
"Kerajaan negeri turut memohon supaya kelulusan diberikan kepada projek tebatan banjir dan kemudahan kesihatan iaitu menyiapkan Hospital Kemaman dan Hospital Dungun yang kini dalam pembinaaan," katanya.
Sumber: Berita Harian
Comments