top of page

Kerajaan digesa tangani kenaikan harga barang binaan asas



Alor Setar: Kerajaan perlu segera mencari kaedah untuk menangani kenaikan harga barang binaan asas yang hampir mencecah 100 peratus bagi mengelak lebih ramai kontraktor kecil khususnya Bumiputera daripada gulung tikar.


Yang Dipertua Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Kedah, Datuk Mohd Zayad Md Ismail berkata Kementerian Kerja Raya, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) serta agensi berkaitan termasuk Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) perlu memandang serius isu berkenaan.


Katanya, ini berikutan sehingga kini kenaikan harga bahan ini masih belum menampakkan tanda untuk pulih.


"Kenaikan harga bahan binaan asas membawa kepada peningkatan kos pembinaan mencecah tujuh peratus, sekali gus mengurangkan margin keuntungan kontraktor terutamanya kontraktor kecil kepada antara 15 hingga 25 peratus saja.


"Dalam keadaan itu, bagaimana kontraktor kecil khususnya kontraktor Melayu hendak hidup ketika pemegang lesen G1, G2, G3 dan G4 bergantung kepada projek skala kecil serta sederhana?


"Justeru kerajaan perlu mengadakan sesi libat urus bersama pemain industri agak semua pihak sama-sama dapat mengemukakan cadangan bagi mengatasi isu ini. KPDNHEP juga perlu segera mengambil langkah untuk membantu kontraktor kecil yang terjejas," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.


Sebelum ini media melaporkan mengenai kos bahan binaan yang melambung antara 60 hingga 100 peratus sejak awal tahun 2021 dan berterusan hingga kini.


Keadaan itu dibimbangi menyebabkan ribuan kontraktor di seluruh negara terpaksa menarik diri daripada meneruskan projek binaan yang diberikan kepada mereka sebelum ini.


Mengulas lanjut Mohd Zayad berkata penyelesaian menyeluruh membabitkan manfaat jangka panjang perlu dilaksanakan bermula dari sekarang.


"Pihak berwajib perlu segera mengkaji langkah-langkah bagi menangani kesan dan impak kenaikan harga terutamanya besi dan lain-lain bahan asas binaan.


"Tindakan pantas ini perlu dilakukan segera supaya kebajikan rakyat terpelihara kerana kenaikan harga barangan asas ini boleh menjejaskan aliran kewangan penggiat industri di sepanjang rantaian sektor pembinaan sebelum 'dipindahkan' pula kepada pengguna akhir," katanya.


Dalam pada itu, Mohd Zayad berkata kontraktor kecil bumiputera turut digesa menubuhkan konsortimum bagi mengatasi masalah untuk mendapatkan bekalan bahan binaan.


Katanya, gabungan itu dilihat mampu mendatangkan manfaat bagi memelihara kepentingan masing-masing selain mewujudkan persaingan sihat antara semua pihak.


"Konsortium ini mesti terdiri daripada pakar dalam pelbagai bidang yang mana gabungan ini diharap dapat memberi buah fikiran bagaimana untuk terus bersaing dalam pasaran semasa.


"DPMM Kedah juga dalam masa menyokong pelaksanaan Variation of Price (VOP) untuk projek kerajaan manakala bagi projek swasta pula, kerajaan perlu menggalakkan pemilik projek memperkenalkan VOP dalam kontrak mereka," katanya.


Sumber: Harian Metro

45 views
bottom of page