
PETALING JAYA – Dua buah kenderaan rosak akibat terkena tumpahan simen ketika melalui kawasan pembinaan Lebuh Raya Bertingkat Sungai Besi- Ulu Kelang (SUKE) di Persiaran Alam Damai, Cheras.
Kejadian itu menyebabkan bahagian bumbung sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Vellfire dan Toyota Rush rosak teruk.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, kejadian itu dilaporkan berlaku pukul 1.30 tengah hari pada Rabu lalu.
“Hasil siasatan mendapati tumpahan simen itu terkena pada MPV yang dipandu seorang lelaki Indonesia manakala pemandu Toyota Rush belum membuat laporan berhubung kejadian sehingga kini.
“Waktu kejadian kedua-dua kenderaan itu sedang bergerak secara perlahan di kawasan pembinaan terbabit sebelum tiba-tiba terkena tumpahan simen itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya lagi, kejadian itu menyebabkan dua kenderaan tersebut mengalami kerosakan namun tiada kecederaan dilaporkan.
“Lokasi kejadian merupakan Jalan Bandaran yang mempunyai dua lorong sehala, namun satu lorong ditutup untuk pembinaan,” ujarnya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian boleh menghubungi Balai Polis Trafik Jalan Tun H.S Lee di talian 03 2071 9999 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03 2115 9999.
Sumber: Kosmo!