top of page

Kelewatan projek Edra Energy tidak timbulkan kebimbangan kredit jangka pendek


Gambar hiasan

KUALA LUMPUR, 26 Julai — Kelewatan penyiapan loji jana kuasa gabungan gas dan turbin stim kitaran 2,242 megawatt (MW) milik Edra Energy Sdn Bhd di Alor Gajah, Melaka tidak akan menimbulkan kebimbangan kredit dalam jangka terdekat, menurut pandangan RAM Rating Services Bhd (RAM Ratings).


Firma penarafan itu menjelaskan jumlah kontingensi prapendanaan dan penjimatan kos pembinaan bagi projek itu setakat ini menyediakan mudah tunai yang mencukupi untuk membolehkan Edra Energy memenuhi obligasi kewangan mereka yang bertarikh akhir Januari 2022 di bawah Sukuk Wakalah bernilai RM5.085 bilion, yang akan matang pada 2038 dan diberikan penarafan AA3/Stabil.


Setakat 27 Jun, 2021 konsortium kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) bagi loji jana kuasa itu melaporkan projek tersebut keseluruhannya telah siap 99.83 peratus atau 0.17 peratus lewat daripada 100 peratus seperti yang dirancang.


“Selain cabaran berkaitan pandemik, projek ini juga menghadapi isu di peringkat awal ketika proses pentauliahan dan pengujian semasa yang menyebabkan kelewatan loji jana kuasa ini berlanjutan. “Jangkaan tarikh pengoperasian komersial (COD) bagi kesemua tiga blok penjanaan (GB) loji ini dilanjutkan lagi masing-masing sehingga pertengahan September 2021, akhir Oktober 2021 dan pertengahan Disember 2021,” menurutnya dalam kenyataan pada Isnin.


RAM Ratings menjangkakan ganti rugi jumlah tertentu boleh dibayar kepada pembeli tunggal, Tenaga Nasional Bhd (TNB), berdasarkan Perjanjian Pembelian Tenaga berikutan kelewatan penyiapan loji jana kuasa itu akan ditanggung secara kontrak oleh konsortium EPCC berasaskan pembayaran selepas kerja disiapkan.


“Buat masa sekarang, kami sedia maklum TNB telah bersetuju untuk menilai semula tuntutan Edra Energy bagi lanjutan COD yang telah dijadualkan, disebabkan oleh force majeure, apabila setiap GB mencapai COD dan memuktamadkan COD bagi GB ketiga. “Edra Power Holdings Sdn Bhd (EPH, memperoleh penarafan AA1/Stabil) telah memberikan surat aku janji untuk menyediakan sokongan mudah tunai yang tidak boleh ubah dan tanpa syarat yang diperlukan Edra Energy untuk mengekalkan penarafan AA3 sukuk itu berasaskan kedudukan mudah tunai dan kewangan kukuh EPH,” menurutnya.


‘Force majeure’ bermaksud sesuatu keadaan luar biasa dan luar jangka yang berlaku di luar kawalan munasabah pihak yang terlibat dan yang mana pihak yang terkesan itu tidak dapat mencegah, mengelak atau menghilangkan. Ia menjelaskan, setakat akhir Mei 2021, EPH mempunyai tunai tidak dihalang sebanyak RM1.08 bilion dan kemudahan kredit pusingan (RC) RM95 juta yang tidak digunakan di peringkat korporat, dengan satu lagi kemudahan RC RM200 juta yang akan diputuskan pada akhir akhir tahun ini.


“Kami akan membuat semakan penarafan tahunan ke atas sukuk Edra Energy dalam tempoh tiga bulan akan datang, dan keputusan penarafan itu akan tertakluk kepada penerimaan kemas kini selanjutnya mengenai kemajuan projek dan baki perancangan kerja,” jelas RAM Ratings. Edra Energy merupakan 63 peratus milik China General Nuclear Power Corporation Ltd dan 37 peratus milik China Southern Power Grid Company Ltd. Konsortium EPCC bagi projek itu merangkumi Hyundai Engineering Co Ltd, Hyundai Engineering & Construction Co Ltd serta Hyundai Engineering Malaysia Sdn Bhd.


7 views

Comments


bottom of page