'Kampung Kerinchi' kembali


KEGEMBIRAAN buat penduduk Kampung Kerinchi di Pantai Dalam, dekat sini, apabila kawasan itu secara rasmi hari ini ditukar semula kepada nama asalnya ‘Kampung Kerinchi’ daripada Bangsar South.


Pengisytiharan itu disempurnakan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan turut disaksikan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil serta Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar yang juga bekas wakil rakyat kawasan itu dari 2008 hingga 2018.


“Semasa berkempen saya pernah berjanji kepada penduduk Kerinchi untuk menghormati tempat ini dan sejarahnya, sekarang saya mengotakannya.


“Kampung ini kaya dengan sejarahnya. Kenapa kita harus malu ia dipanggil ‘kampung’? Ramai orang hebat dilahirkan dari sini. Kita tidak sewajarnya melupakan asal usul kita,” kata Fahmi ketika berucap di majlis itu.


Beliau berkata, pihaknya juga sedang berbincang untuk menganjurkan satu program yang dipanggil ‘Ini Kerinchi Lah’ yang berkait dengan perkataan dalam slogan pilihan raya Pakatan Harapan ‘Ini Kalilah.’


“Saya sedang berbincang dengan pihak berkaitan dan program ini akan diadakan tahun ini untuk penduduk Kampung Kerinchi dan Pantai Dalam,” katanya.


Sementara itu, Presiden PKR Anwar mempunyai sejarah yang lebih peribadi dengan Kampung Kerinchi ketika menuntut di Universiti Malaya (UM) yang terletak berhampiran.


“Ketika saya aktif untuk melakukan penentangan dan demonstrasi di UM, Kampung Kerinchi menjadi tempat kita sembunyi.


“Orang di sini sangat baik kepada kami. Tidak kira apa pun parti politik, mereka mengalu-alukan kami ke rumah mereka untuk memastikan kami selamat sehingga keadaan kembali reda. Saya tidak akan melupakan Kampung Kerinchi dan rakyatnya.


“Hanya kerana kita mahu mencapai negara yang moden dan teknologi, itu tidak bermakna kita perlu melupakan akar dan warisan kita. Perkataan kampung tidak bermaksud mundur. Ia mengingati akar kita dan nilai-nilai yang kita mahu mengekalkan ketika kita menjadi negara moden. Kampung Kerinchi adalah tempat itu,” kata Anwar dengan mesra.


Sementara itu, Nurul Izzah teringat bahawa penduduk Kampung Kerinchi dan Pantai Dalam antara terawal menerima PKR sebelum diikuti rakyat di negeri lain.


“Orang kampung ini menerima kami dan kami ingin memberikan kembali. Pihak berkuasa tempatan dan pemaju tidak sepatutnya hanya membina bangunan tinggi dan mengabaikan apa yang mereka mahu dan perlukan. Terdapat begitu banyak warisan dan kebudayaan di sini dan kami akan melakukan yang lebih baik untuk rakyat di sini,” katanya.


Penduduk yang juga generasi keempat Kampung Kerinchi, Baharuddin Hassan, 68, berkata, nenek moyangnya berasal dari Sumatera, Indonesia yang lain akibat serangan tentera Belanda dan menetap di situ.


“Kami masih menggunakan bahasa kerinchi di sini, terutamanya dalam kalangan keluarga terdekat. Kami mahu mengekalkan bahasa, budaya dan warisan yang unik kami.


“Kami tidak dapat berbuat apa-apa apabila mereka memanggil tempat ini dengan nama moden dan kebaratan iaitu Bangsar South. Namun, Fahmi memaklumkan beliau akan membetulkan keadaan dan memelihara apa yang ada di sini. Jadi, ini hari yang hebat untuk penduduk di sini,” katanya.


Abdul Hakam Jamaluddin, 34, yang juga generasi kelima Kampung Kerinchi senada dengan Baharuddin dan menegaskan penduduk di situ masih mengekalkan budaya ramah mesra dalam menyambut pengunjung.


“Kami berbangga dengan warisan, budaya kami dan nama kampung kami. Bagi mereka yang tidak mengenali kami, perkataan Kampung Kerinchi mungkin hanya sebuah kampung tetapi bagi orang lain, ia lebih bermakna.


“Nilai, kebudayaan dan sejarah kami menyumbang banyak kepada pembangunan bandar dan negara tanpa mengorbankan nilai teras kami. Inilah masanya kita berbangga dengan nama Kampung Kerinchi,” katanya.


Sumber: Harian Metro


#evolusibina

How can we help you?

Take a moment to tell us about your services, products or marketing interest — we’re here to help.

Copyright © 2020 EvolusiBina. All rights reserved.