top of page

Kaji semula reka bentuk sekolah – Radzi Jidin


Kaji semula reka bentuk sekolah – Radzi Jidin Malaysia Gazette www.malaysiagazette.com
Gambar hiasan: Salah satu keadaan sekolah di Malaysia

PUTRAJAYA – Reka bentuk pembinaan sekolah perlu dikaji semula demi menjamin keselesaan kepada pelajar.


Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, pembinaan sekolah bukan sahaja sepatutnya berbaloi dengan peruntukan yang dikeluarkan kerajaan, malah dalam masa yang sama penggunaannya dapat dioptimumkan.


Jelasnya, antara reka bentuk sekolah yang perlu dipertimbangkan semula adalah pengudaraan tandas, tingkap dan siling kelas.


“Dalam konteks pembinaan, kita nak optimumkan setiap sen yang dibelanjakan kerajaan. Untuk konteks reka bentuk sekolah, ada ibu bapa sebelum ini sentuh tentang kebersihan tandas, bau berpunca daripada pengudaraan yang tidak baik.


“Sehingga ada murid sanggup tidak makan di sekolah kerana tidak mahu menggunakan tandas sekolah.


”Kita perlu lihat lihat pendekatan yang ke hadapan, yang menyeluruh di luar kebiasaan kita insya-Allah perincikan pendekatan ini,” katanya.


Beliau menyatakan demikian ketika sidang media selepas merasmikan Program Bersama Semarakkan Transformasi Pendidikan Sektor Perancangan dan Pembangunan di di Dewan Perdana Putra Sekolah Sultan Alam Shah.


Sementara itu, Radzi berkata, infrastruktur sekolah terbahagi kepada dua komponen iaitu pembangunan dan penyelenggaraan.


Tambah beliau, bangunan yang terbiar di sekolah juga perlu dielakkan supaya tidak menggunakan peruntukan besar demi kerja-kerja penyelenggaraan.


“Pembangunan ada banyak komponen lain, pembinaan sekolah-sekolah baru, bangunan baru, bangunan gantian khususnya untuk sekolah bangunan daif.


“Selenggara kita baiki, tambah baik sekolah-sekolah,” tambahnya.


Menurut Radzi, pembangunan sekolah tidak boleh lagi terikat dengan reka bentuk yang lama sekiranya memerlukan kos penyelenggaraan yang tinggi.


Dalam masa yang sama beliau berkata, infrastruktur sekolah seluruh negara perlu memenuhi keperluan pelajar bukan hanya untuk belajar, tetapi keselesaan.


“Ada sekolah di satu kawasan yang aksesnya lebih dari yang lain, jadi tumpuan lebih pelajar di situ, meskipun ada sekolah di kawasan yang berdekatan, kita tidak mahu perkara begini berlaku,” tambah beliau.




7 views
bottom of page