SADONG JAYA: Menteri Muda Pembangunan Pelabuhan dan Infrastruktur Sarawak Datuk Julaihi Narawi melahirkan rasa agak kecewa atas kelewatan projek naik taraf jalan raya dari Kota Samarahan hingga Sadong Jaya (PA2) yang menelan belanja kira-kira RM14 juta.
Menurutnya, kelewatan ini agak mengecewakan kerana projek jalan raya ini dinanti rakyat di sepanjang jalan pesisir dan mempunyai frekuensi trafik yang agak tinggi.
“Jalan itu juga bakal menjadi nadi utama penghubung seluruh rakyat Sarawak ke jalan pesisir seperti menuju feri Batang Lupar, Pangkalan Feri Sebuyau dan Triso.
“Kita tidak mahu projek ini terus menjadi sebutan rakyat dan cemuhan kerana menanti projek yang dalam kategori ini,” katanya ketika melawat perkembangan projek itu, hari ini.
Tambah beliau, kelewatan pembaikan dan naik taraf jalan PA2 ini boleh dikira agak tenat.
“Saya difahamkan oleh konsultan bahawa pencapaian bagi PA2 sekarang adalah 2.2 peratus berbanding yang dijadualkan iaitu 41 peratus. Ini bermaksud ia lewat sebanyak 39 peratus.
“Justeru, saya mohon kontraktor yang berstatus bumiputera ini mengambil tindakan segera untuk menyiapkan kerja yang ditetapkan,” katanya.
Sumber: Sarawak Voice
Comments