JLand lancar identiti jenama baharu
- Ridhwanisme
- Aug 22, 2022
- 3 min read

KUALA LUMPUR: Johor Land Bhd (JLand) melangkah ke fasa pengembangan selanjutnya dengan pelancaran identiti jenama baharu, 'Enhancing Wellbeing, Enriching Community' atau 'Mempertingkatkan Kesejahteraan, Memperkaya Masyarakat'.
Cabang pembangunan hartanah dan anak syarikat milik penuh JLand Group (JLG), perniagaan hartanah dan infrastruktur Johor Corporation itu memperkenalkan logo dan tawaran jenama baharu berkenaan menandakan langkah seterusnya bagi mencapai pertumbuhan strategik portfolio menerusi pembangunan kediaman, komersial dan perindustrian untuk menguasai jangkauan pasaran yang lebih luas, dan juga memenuhi permintaan yang dijangkakan bagi hartanah berasaskan ciri-ciri demografi yang dinamik.
Presiden dan Ketua Eksekutif Johor Corporation merangkap Pengerusi JLand, Datuk Syed Mohamed Syed Ibrahim, berkata sepanjang lima dekad lalu, JLand adalah perintis dalam mengubah landskap hartanah Johor.
Beliau berkata, hari ini ia memiliki peluang terbaik untuk terus mempertingkatkan tahap dengan membangunkan projek pembinaan yang inovatif dan lestari, menetapkan piawai yang akan memberi manfaat kepada generasi hari ini dan akan datang.
Melangkah ke hadapan, beliau berkata, syarikat hartanah itu mesti inovatif dan ia bukan satu pilihan.
"Justeru, adalah penting bahawa kita mesti cepat dan bersungguh-sungguh menerima dan menggunakan teknologi hartanah (proptech) dalam operasi kita. Bagi memastikan bukan saja kemampanan JLand bagi tahun-tahun akan datang, saya menggesa kalian untuk membayangkan semula Johor Land yang baharu dan kalis masa hadapan.
"Kita ingin memastikan JCorp melalui Johor Land dapat menyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri di samping mengekalkan semangat keusahawanan yang telah memacu kejayaan Johor Land," katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif JLand, Mohd Yusof Ahmad, berkata sambil pihaknya merangka wawasan masa depan, identiti dan tawaran jenama baharu JLand, iaitu 'Mempertingkatkan Kesejahteraan, Memperkaya Masyarakat' memperlihatkan komitmennya untuk mengikuti perkembangan semasa dan mempelopori inovasi yang benar-benar bermakna, di samping meluaskan tawaran, capaian dan impak kami bagi memenuhi keperluan dan kehendak pelanggan, rakan niaga, masyarakat dan pihak berkepentingan lain.
Beliau berkata, bagi membuka lembaran baharu, pihaknya akan mengguna pakai strategi pembangunan bersasar dalam fasa perkembangan seterusnya untuk melaksanakan projek pembangunan, dan juga mempelbagaikan portfolio aset ke dalam bidang hartanah kediaman, komersial dan perindustrian.
"Menerusi kerjasama strategik dengan rakan korporat dan komuniti, JLand diberi kepercayaan untuk menyusun, melaksanakan dan membekalkan penyelesaian inovatif yang bermakna berlandaskan teknologi digital yang terbaik, sambil menyepadukan kelestarian dalam seluruh rantaian nilai.
"Konsep pembangunan ini bakal menjadi model pertumbuhan lestari pada masa hadapan dalam usaha kami membina ekosistem yang terhubung dan sesuai dihuni bagi masyarakat, penduduk dan perusahaan, sejajar dengan misi teras kami, iaitu Menambah Baik Kehidupan Masyarakat, memanfaatkan Penyelesaian Inovatif, dan memperkasakan Gaya Hidup Lestari," katanya.
Salah satu mercu penting dalam evolusi jenama JLand ialah perkembangannya ke dalam portfolio dan pasaran strategik.
Memanfaatkan pertumbuhan sektor hartanah perindustrian, JLand akan menerajui pembangunan Lembah Teknologi Sedenak, terutamanya dengan pelancaran fasa perintis Discovery City seluas 130 hektar pada 2023.
Lembah Teknologi Sedenak ialah pembangunan bersepadu seluas 2,916 hektar yang berpacukan teknologi digital dan berpegang kepada prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), dalam usaha mewujudkan industri, masyarakat dan ekosistem yang serba maju.
JLand juga melancarkan rancangan strategik bagi beberapa projek pembangunan utama di Johor.
Bandar Tiram bakal menempatkan pembangunan Tebing@Bandar Tiram seluas 11.2 hektar menjelang awal 2023, dengan matlamat mencontohi kejayaan dan unsur berinspirasi alam, mesra perusahaan dan bertumpukan masyarakat Bandar Dato' Onn yang terdahulu.
Tambahan lagi, Bandar Dato' Onn juga bakal melaksanakan perancangan semula pelan induk untuk menyokong kedudukannya sebagai destinasi kesejahteraan bagi semua gaya dan kitaran hidup, dengan pembangunan baharu bagi Green Landed Residences pada 2024.
JLand juga akan melaksanakan inisiatif untuk meniup nafas baharu bagi Arena Larkin, hab perbandaran generasi akan datang seluas 94 hektar di Larkin.
Salah satu pembangunannya ialah fasa perintis Central Park, yang mana adalah hab komersial dan runcit di Arena Larkin menjelang 2024.
Sumber: Berita Harian
Comments