Jengkaut pun kena sebat



CURI jentera berat, lerai dan jual komponen. Itu modus operandi kumpulan Mat Kelate yang aktif mencuri jentera berat di sekitar Sungai Buloh, Petaling Jaya dan Kuala Lumpur sejak awal tahun lalu.


Bagaimanapun, kegiatan itu terbongkar dalam serbuan berasingan dilakukan polis di sekitar Sungai Buloh dan Karak, Pahang pada 22 hingga 24 Disember lalu, yang membawa kepada penahanan lima individu berusia antara 30 tahun hingga 38 tahun.


Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Superintendan Shafa’aton Abu Bakar berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki berusia 40-an memaklumkan jengkaut miliknya yang diletakkan di tapak tanaman di Taman Bukit Indah hilang pada 21 Disember lalu.

“Hasil siasatan, kami menahan lima individu terdiri daripada pemilik bengkel jentera berat dan mekanik dalam serbuan berasingan sekitar Sungai Buloh dan Karak, Pahang.


“Kami merampas 22 komponen jengkaut pelbagai jenis, sebuah jengkaut, lori, dua kereta iaitu Proton Satria dan Perodua Kancil. Turut dirampas dokumen pendaftaran kenderaan dan salinan lesen perniagaan. Rampasan keseluruhan dianggarkan bernilai RM1 juta,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh, di sini, hari ini.


Shafa’aton berkata, kumpulan Mat Kelate hanya mensasarkan jentera berat yang digunakan bagi kerja perladangan dan hutan sahaja.


“Jentera berat yang berjaya dicuri akan dijual kepada bengkel alat ganti sebelum dileraikan untuk dijadikan sebagai komponen. Komponen itu akan dijual pada harga antara RM20,000 hingga RM35,000.


“Soal siasat terhadap suspek mendapati kumpulan itu dipercayai terbabit dalam tujuh kes di Sungai Buloh, Petaling Jaya dan Kuala Lumpur dan mengaku mereka aktif sejak awal tahun lalu,” katanya.


Katanya, semakan juga mendapati dua daripada suspek mempunyai rekod jenayah dan dadah.


“Semua suspek masih direman sehingga Isnin ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan.


“Kami masih memburu seorang lagi individu iaitu Mohd Mustafa Mat Salleh atau dikenali sebagai Mat berusia 37 tahun yang berasal dari Kampung Pak Simpol Mahligai Melor, Kota Bharu, Kelantan, bagi membantu siasatan kes berkenaan,” katanya.


Sumber: Harian Metro


#evolusibina #jentera

32 views0 comments

How can we help you?

Take a moment to tell us about your services, products or marketing interest — we’re here to help.

Copyright © 2021 EvolusiBina. All rights reserved.