top of page

Jejambat Kota Bharu siap dengan penjimatan kos RM7.9 juta


Jejambat Kota Bharu siap dengan penjimatan kos RM7.9 juta
Pembinaaan projek jejambat. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR

Jejambat Kota Bharu siap dengan penjimatan kos RM7.9 juta

Tumpat: Projek jejambat dari arah Kota Bharu merentangi bulatan Wakaf Bharu ke Pengkalan Kubor yang bernilai RM97.6 juta dibuka hari ini.


Projek itu yang bermula pada 19 Februari 2018, siap sepenuhnya 15 Jun lalu dengan penjimatan kos sebanyak RM7.9 juta, berbanding kos asal sebanyak RM105.5 juta.


Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, jejambat itu akan menyuraikan trafik dari Kota Bharu ke Pengkalan Kubor terutama di sekitar bulatan Wakaf Bharu pada waktu puncak.


Menurutnya, ia dilaksana secara reka dan bina serta meningkatkan tahap keupayaan jalan dari tahap F ke tahap C yang membawa maksud kelancaran trafik berjaya ditingkatkan.


"Projek ini meliputi jejambat jalan berkembar empat lorong melintasi bulatan Wakaf Bharu sepanjang 470 meter dan pelebaran dua jambatan sedia ada iaitu Jambatan Atas Rel sepanjang 26.2 meter dan Jambatan Alor Kedemit sepanjang 25 meter.


"Selain itu, menaik taraf Bulatan Wakaf Bharu sedia ada kepada persimpangan lampu isyarat, pemasangan perabot jalan, pengambilan balik tanah serta kerja-kerja pengalihan utiliti," katanya ketika merasmikan jejambat berkenaan.


Turut hadir, Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob.


Nanta berkata, projek berkenaan diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11) dengan peruntukan asal sebanyak RM105.5 juta.


Bagaimanapun katanya, selepas penyelarasan dilakukan, projek berkenaan berjaya disiapkan dengan kos RM97.6 juta, sekali gus penjimatan sebanyak RM7.9 juta.


"Antara keistimewaan projek jejambat ini, ia menjadi projek rintis bagi pelaksanaan Building Information Modelling (BIM) dalam pembinaan projek jalan dan jambatan.


"Kaedah penggunaan BIM dalam projek jalan mampu meningkatkan kualiti dan produktiviti pembinaan kerana kaedah ini menyeragamkan reka bentuk serta mempercepatkan tempoh pembinaan," katanya.


Pada masa sama, beliau turut berterima kasih kepada kerajaan negeri Kelantan dan semua pihak yang memberi kerjasama baik sepanjang projek ini berjalan.


Sumber: Harian Metro


Jejambat Kota Bharu siap dengan penjimatan kos RM7.9 juta

bottom of page