top of page

'Janji tender terbuka, jangan sekadar cakap tanpa bikin'


'Janji tender terbuka, jangan sekadar cakap tanpa bikin' Berita Harian www.bharian.com.my
Presiden Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM), Datuk Seri Mohamed Fadzill Hassan. - NSTP/Salhani Ibrahim

KUALA LUMPUR: Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) berharap pengumuman bahawa tiada lagi kelulusan perolehan tanpa tender terbuka dalam tata kelola pentadbiran kerajaan baharu ketika ini akan disusuli dengan langkah berkesan dalam menangani amalan itu.


Presiden PKMM, Datuk Seri Mohamed Fadzill Hassan, mengakui pengumuman itu sesuatu yang dialu-alukan tetapi berharap ia tidak sekadar cakap sahaja, tetapi lenyap dalam tempoh beberapa bulan lagi.


"Pada pandangan saya, usaha ini bagus untuk mengelakkan gejala rasuah ataupun kroni. Perkara ini jangan hanya sekadar cakap saja dan selepas tiga bulan ia masih sama seperti sebelum ini dan tiada apa-apa perubahan.


"Apa yang saya mahu tekankan adalah berkenaan tindakan susulan selepas pengumuman itu dibuat. Kalau usaha ke arah itu tidak dilaksanakan, ia hanyalah cakap tak serupa bikin.


"Kerajaan sebelum ini pun ada juga cakap seperti itu, tapi hasilnya tetap sama. Saya sebagai kontraktor pun susah juga nak dapat sebarang projek sebelum ini," katanya kepada BH, hari ini.


Dalam pada itu, Mohamed Fadzill menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengambil tindakan sewajarnya terhadap pihak yang didapati bersalah dalam isu terbabit selain menegaskan badan itu perlu berperanan secara telus.


Malah, beliau secara terbuka menyatakan hasrat bekerjasama dengan Perdana Menteri dan SPRM bagi memastikan gejala rasuah khususnya dalam kelulusan perolehan dapat dibendung.


"Janganlah ada sangkut paut politik dalam isu ini dan itu sudah banyak berlaku. Usaha ini sangat baik, kami sanggup bekerjasama dengan Perdana Menteri dan SPRM bagi mengatasi masalah ini.


"Disebabkan ia adalah perkara yang baik, jadi kami mengalu-alukan, tapi janganlah sekejap saja usaha ini," katanya.


Semalam, Perdana Menteri memaklumkan Kerajaan Perpaduan pimpinannya itu tidak tidak akan mengizinkan sebarang kebocoran, ketirisan dan rasuah terus berleluasa.


Beliau mahukan pemberian atau perolehan tender selepas ini dilakukan secara terbuka dan bukannya dengan cara rundingan terus.


Selain itu, Ketua SPRM, Tan Sri Azam Baki juga senada dengan kenyataan Perdana Menteri apabila mengakui pemberian tender secara runding terus akan lebih mendedahkan kepada salah guna kuasa dan rasuah.


Sumber: Berita Harian


Comments


EvolusiBina evolusi bina CIDB JKR Tender Projek ccd cpd cep point kontraktor

Let's Collaborate!

Want to get in touch? We'd love to hear from you.

Copyright © 2025 EvolusiBina. All rights reserved.

bottom of page