top of page

Jambatan dah siap, tapi naik semak


Keadaan di atas jambatan konkrit merentasi Sungai Nenggiri menghubungkan Kampung Bertam Baharu dengan Bertam Lama terbiar dan dinaiki semak - Foto NSTP/Ramli Ibrahim

GUA MUSANG: Jambatan sudah siap dibina, tapi jadi projek gajah putih. Demikianlah yang berlaku kepada projek jambatan konkrit merentasi Sungai Nenggiri di Kampung Bertam, dekat sini, yang didakwa berpunca daripada masalah pengambilan tanah.


Keadaan itu menyebabkan penantian sejak lebih 40 tahun oleh lebih 3,000 penduduk belum kesampaian.


Penduduk terpaksa terus menggunakan jambatan sementara yang diperbuat daripada besi atau 'berkongsi' jambatan keretapi.


Jambatan konkrit bernilai RM35 juta menghubungkan Kampung Bertam Lama dengan Bertam Baharu siap dibina lapan bulan lalu tetapi terbiar dan di kedua-dua hujungnya ditumbuhi semak-samun.


Imam Muda Masjid Bertam Baharu, Mohd Mokhtar Che Ahmad, 47, berkata, keadaan itu berlaku berikutan penangguhan pembinaan jalan keluar masuk ke jambatan terbabit.


Beliau mendakwa ia disebabkan masalah pengambilan balik tanah penduduk membabitkan laluan kedua jalan masuk jambatan berkenaan belum selesai sampai sekarang.


Katanya keadaan itu juga menyebabkan jambatan terbabit terbiar hingga dinaiki semak dan penduduk menggunakan jambatan yang dibina sementara.


"Selain itu, kami juga menggunakan laluan dibina sementara bersama jambatan keretapi dan terdedah risiko kejadian tidak diingini.


"Apa yang kita risaukan jambatan besi yang dibina sementara itu juga kerap tenggelam apabila hujan lebat dan air Sungai Nenggiri naik mendadak," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.


Penyelia Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, Mohd Saufi Abdul Razak pula berkata, jambatan konkrit yang siap dibina lapan bulan lalu itu amat dinanti-nantikan penduduk.


Katanya, ini kerana jambatan itu menghubungkan ke 50 kampung melalui Jalan Kemubu, Dabong, Jelawang, Kuala Balah, Jeli dan Gua Musang.


"Kita hairan kenapa jambatan itu siap dibina dahulu daripada penyelesaian pengambilan balik tanah penduduk terbabit," katanya.


Beliau berkata, kebanyakan penduduk yang menggunakan jambatan sementara dan laluan jambatan keretapi juga berdepan risiko kemalangan.


"Oleh itu, kita mengharapkan pihak terbabit selesaikan segera masalah supaya dapat memberi keselesaan kepada penduduk," katanya.


35 views
bottom of page