GEORGETOWN: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) menyiasat serta mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah jalan tampal yang boleh mengancam keselamatan pengguna di negeri ini.
Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, tinjauan CAP mendapati jalan tampal di beberapa laluan utama seperti di Bukit Jambul, Bukit Gambir dan beberapa jalan lain tidak rata, berlubang, berbonggol dan pecah permukaannya.
Tambahnya, keadaan jalan tersebut amat berbahaya kepada penunggang motosikal yang sering terlanggar tebing yang tidak rata, berlubang, pecah permukaannya dan berbonggol.
“Kemalangan boleh berlaku dengan kenderaan lain ketika mereka mahu mengelak daripada masalah jalan seperti ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut Mohideen, CAP berharap JKR dan MBPP memberi perhatian serius terhadap masalah berkenaan dan tindakan segera perlu diambil sebelum kejadian tidak diingini menimpa para pengguna yang setiap hari melalui jalan terbabit.
“Keadaan permukaan jalan yang tidak rata akan merosakkan sistem penggantungan (suspension system) dan tayar kenderaan.
“Selain itu, ia juga amat membahayakan kepada penunggang-penunggang motosikal yang mana lubang berkenaan mungkin tidak kelihatan pada waktu malam terutamanya pada waktu hujan lebat,” katanya.
Dalam pada itu tambahnya, siasatan terperinci dan pemantauan secara menyeluruh perlu dibuat bagi memastikan jalan-jalan di negeri ini berada dalam keadaan selamat dan tidak mengancam keselamatan pengguna.
“Pihak kontraktor yang diberi kontrak untuk membina, mengekalkan dan menyelenggarakan jalan perlu bertanggungjawab dalam perkara itu.
“Kejadian jalan berlubang yang berulang kali hanya menunjukkan kerja yang dijalankan adalah tidak bermutu dan kontraktor mestilah bertanggungjawab bagi menjalankan pemeriksaan lebih kerap terhadap semua jalan,” katanya.
Sumber: Utusan Malaysia
Comments