top of page

IWC jual tanah di Danga Bay bernilai RM53.24 juta


Iskandar Waterfront City Bhd (IWC)

KUALA LUMPUR: Anak syarikat milik penuh Iskandar Waterfront City Bhd (IWC), Success Straits Sdn Bhd, memeterai perjanjian jual beli (SPA) bersyarat dengan Knusford Resources Sdn Bhd untuk cadangan pelupusan tanah bernilai RM53.24 juta.


Knusford Resources ialah anak syarikat milik penuh Knusford Bhd.


Dalam maklumannya dengan Bursa Malaysia, syarikat itu berkata pertimbangan pelupusan akan dipenuhi terutamanya melalui pengaturan penyelesaian yang mana jumlah keseluruhan RM50.76 juta, sebagai jumlah terhutang dan perlu dibayar oleh IWC dan anak-anak syarikatnya kepada Knusford dan anak-anak syarikatnya, hendaklah ditolak daripada pertimbangan pelupusan.


Sementara itu, baki sebanyak RM2.48 juta akan dipenuhi secara tunai.


Ia berkata, cadangan pelupusan dan penyelesaian itu mewakili peluang bagi syarikat untuk memanfaatkan nilai hartanah tersebut pada harga yang berpatutan.


Di samping itu, ia berkata syarikat melihat cadangan pelupusan dan penyelesaian itu sebagai munasabah selepas mengambil kira kebolehpasaran tanah yang dilupuskan dan kesukaran mendapatkan pembeli ganti bagi hartanah berkenaan memandangkan keadaan ekonomi semasa yang mencabar.


IWC berkata, cadangan pelupusan dan penyelesaian adalah selaras dengan hasrat syarikat untuk memfokuskan sumbernya pada projek sedia ada yang sedang dijalankan manakala penyelesaian itu akan membolehkan syarikat menyelesaikan hutang kepada kumpulan Knusford tanpa menanggung aliran keluar tunai.


Ia berkata, cadangan pelupusan dan penyelesaian itu dijangka selesai pada suku keempat 2022.


Sementara itu, Knusford berkata hartanah itu terletak secara strategik dalam kawasan Danga Bay, Iskandar Malaysia dan mudah diakses melalui Lebuhraya Sultan Iskandar, yang menghubungkannya ke pusat bandar Johor Bahru dan Tambak Johor-Singapura yang boleh dihubungkan juga ke Bukit Chagar, Johor Bahru ke Woodlands, Singapura.


Ia berkata, syarikat itu percaya bahawa hartanah tersebut mempunyai potensi pelaburan/pembangunan yang baik dan mungkin juga mendapat manfaat daripada penyambungan semula Sistem Transit Rapid (RTS), yang disasarkan untuk beroperasi menjelang 2026/2027.


"Oleh itu, cadangan pengambilalihan dan penyelesaian dilakukan sebagai sebahagian daripada rancangan kumpulan Knusford untuk meningkatkan bank tanahnya di lokasi strategik, yang mungkin membolehkannya mendapat manfaat daripada potensi peningkatan modal, dan sekiranya lembaga pengarah memutuskan untuk membangunkan hartanah tersebut, pembangunan itu juga boleh menjana aliran pendapatan tambahan untuk kumpulan," tambahnya.


Sumber: Berita Harian

9 views

Comments


bottom of page