top of page

Isu Istana Raja Muda, MB menghadap Raja Puan Besar Perak


Gambar hiasan

IPOH: Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad telah menghadap Raja Puan Besar Perak, Raja Nazhatul Shima Sultan Idris Shah berhubung isu penjualan Istana Raja Muda Perak di Teluk Intan.


Menurut Saarani, beliau telah menghadap Raja Puan Besar petang semalam.


“Semalam saya sudah menghadap Raja Puan Besar Perak dan berbincang berkaitan dengan istana.


“Saya kena bawa perkara ini dalam mesyuarat exco kerajaan negeri untuk melihat bagaimana kita boleh merealisasikan hasrat baginda,” katanya.


Beliau ditemui pemberita selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Remaja di Sekolah Izzuddin Shah, di sini hari ini.


Sebelum ini, Raja Nazhatul Shima berkenan melawat Istana Raja Muda Perak di Teluk Intan dan menzahirkan harapan agar bangunan bersejarah itu dikekalkan dan tidak dijual untuk projek komersial dan pembangunan bercampur.


Bertitah kepada Utusan Malaysia, baginda menzahirkan harapan agar istana itu tidak dijual sebaliknya dikekalkan.


Baginda turut menzahirkan hasrat untuk berjumpa Menteri Besar berhubung cadangan penjualan tanah dan istana itu.


Baginda pernah tinggal di istana itu antara tahun 1957 hingga 1963 dan hanya berjalan kaki ke sekolah yang terletak di belakang istana itu.


Sementara itu, mengenai PICK Remaja di negeri ini, Saarani berkata, program itu bermula sejak 20 September lalu dan sehingga semalam, sejumlah 126,211 pelajar sekolah berusia 12 hingga 17 tahun sudah mendaftar untuk mendapat suntikan vaksin.


Menurutnya, daripada jumlah itu, seramai 115,617 pelajar atau 91.6 peratus sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.


“Mengikut pecahan umur, seramai 61,853 pelajar yang berusia 16 hingga 17 tahun sudah mendaftar dan 55,976 atau 90.5 peratus daripadanya sudah menerima vaksin.


“Bagi pelajar berusia 12 hingga 15 tahun pula, 64,358 sudah mendaftar dan 59,641 atau 92.67 peratus telah mendapat suntikan vaksin,” katanya.


Menurutnya, sebanyak 41 PPV dibuka bagi tujuan pelaksanaan program ini meliputi sekolah, kolej vokasional dan PPV awam.


13 views

Comments


bottom of page