top of page

Insiden pekerja binaan maut perancah besi runtuh disiasat


Pegawai JKKP sedang menjalankan siasatan perancah besi runtuh di tapak pembinaan pangsapuri di Ipoh semalam. /FOTO IHSAN JKKP PERAK

IPOH – Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Perak menjalankan siasatan terhadap insiden seorang pekerja binaan warga Bangladesh yang maut akibat runtuhan perancah besi di tapak projek pembinaan pangsapuri di sini semalam.


Dalam kejadian pada pukul 11.20 pagi itu, Md. Zamir Uddin, 33, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.


Pengarah JKKP Perak, Supian Alias berkata, ekoran insiden tersebut, sepasukan pegawai penyiasat diarahkan ke lokasi kejadian untuk menjalankan siasatan.


Katanya, pemeriksaan mendapati, ketika kejadian mangsa sedang menjalankan kerja ‘plastering’ pada dinding di tingkat tujuh blok pangsapuri yang sedang dalam pembinaan.


“Ketika kejadian, terdapat aktiviti mengangkat dan memindahkan palet yang mengandungi 80 beg ‘skim coat finishing’ seberat 2,000 kilogram menggunakan kren menara untuk diletakkan di atas platform perancah.


“Semasa aktiviti meletakkan palet di atas platform perancah, mangsa telah keluar melalui tingkap bagi menguruskan ‘skim coat finishing’ untuk dibawa masuk ke dalam melalui tingkap di tingkat tujuh bagi kegunaan ‘plastering’.


“Bagaimanapun, sebahagian struktur platform perancah itu runtuh menyebabkan mangsa yang berada di atas platform terjatuh ke permukaan lantai di tingkat tiga,” katanya dalam kenyataannya di sini hari ini.


Berikutan itu katanya, JKKP Perak telah mengeluarkan enam notis larangan kepada majikan dan aktiviti kerja di tapak pembinaan dihentikan serta-merta sehingga notis dipatuhi.


“Tindakan perundangan ke atas pihak yang bertanggungjawab akan diambil sekiranya didapati terdapat pelanggaran di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994,” katanya.


Sumber: Kosmo!

16 views
bottom of page