ALOR SETAR: Hospital Sultanah Maliha (HSM) di Langkawi bakal dinaik taraf sebagai satu daripada langkah untuk meningkatkan kemudahan kesihatan di destinasi pelancongan popular tersebut.
Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, beliau difahamkan projek menaik taraf hospital itu dijangka menelan belanja kira-kira RM600 juta.
Katanya, projek naik taraf itu bakal menampung beberapa kekurangan yang kini wujud melibatkan sektor kesihatan di pulau lagenda tersebut.
“Dijangkakan majlis pecah tanah projek itu akan dilaksanakan bulan depan. Sekarang ini kalau kes agak kritikal di Langkawi, pesakit perlu dihantar ke Alor Setar untuk mendapatkan rawatan lanjut dan adakalanya sampai perlu sewa bot melibatkan kos mahal.
“Maka HSM itu selain dibesarkan, akan juga dinaik taraf untuk menambah katil serta kemudahan lain termasuk penggunaan teknologi baharu. Saya difahamkan projek itu menelan belanja RM600 juta dan dengan penambahbaikan itu, kita harap penduduk Langkawi serta pelancong dapat menikmati kemudahan kesihatan lebih baik,” katanya.
Beliau yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah Kedah Medical Centre (KMC) berkata demikian ketika hadir bagi merasmikan mesin Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) dan mammografi digital di pusat perubatan tersebut di sini, hari ini.
Mengulas lanjut kata Muhammad Sanusi, kerajaan negeri dalam masa sama turut menerima banyak cadangan daripada pelbagai pihak untuk pembangunan pelancongan kesihatan.
“Banyak cadangan berkaitan itu, sampai saya pun tak tahu mana satu nak jadi (diwujudkan) dahulu. Di pihak kerajaan negeri, kita sangat alu-alukan usaha untuk melabur dalam industri tersebut di Langkawi dan tempat lain,” katanya.
Mengulas mengenai mesin dirasmikan itu, Muhammad Sanusi berkata, kedua-dua peralatan yang baharu diperoleh KMC itu merupakan antara yang tercanggih dimiliki di negara ini.
“Mesin MRI itu contohnya bernilai kira-kira RM4.6 juta dan memiliki spesifikasi cukup moden.
Sebagai antara mesin terbaharu dalam pasaran, mesin tersebut memiliki imej lebih jelas dan sensitif sekali gus memudahkan satu-satu penyakit didiagnosis,” katanya.
Sumber: Utusan
Comentarios