
MUAR: Semua projek pembangunan perbandaran yang melunturkan identiti tempatan dan tidak mendukung pembinaan setempat perlu dihindari.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi, berkata warisan adalah satu khazanah yang diwarisi dari generasi ke generasi yang digambarkan dalam dua citra iaitu fizikal atau bersifat rohaniah.
Katanya, ia merangkumi identiti dan jati diri yang boleh digarap, dihayati dalam platform serta pemeragaan aset budaya seperti bahasa, sastera, muzik, pakaian, alam semula jadi, rupa bentuk bandar, seni bina serta nilai positif yang perlu dihayati dan dipelihara.
“Forum ini adalah satu langkah pemerkasaan warisan yang sangat baik terutama ditinjau dalam konteks Prinsip Dasar Seni Bina Identiti Kebangsaan.
“Warisan adalah manifestasi jati diri sesuatu bangsa yang diterampil sama ada secara ketara atau sebaliknya.
“Kementerian amat menyokong penganjuran forum seumpama ini sebagai satu inisiatif yang dapat mendedahkan penggiat industri berkaitan pengekalan, konservasi dan pemuliharaan warisan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Forum Memperkasa Komuniti, Perbandaran Berdaya Huni dan Perbincangan Kumpulan Sasar Berkaitan Pengekalan, Konservasi dan Pemuliharaan Warisan di sini, hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan) Kementerian Pelancongan, Seni dan Warisan, Saraya Arbi.
Mohamaddin berkata, ia juga akan memberi peluang kepada pihak profesional untuk melihat potensi dan peluang yang boleh dimanfaat dari unsur warisan sedia ada ke arah pembentukan rupa bandar dan gaya hidup yang lebih lestari kelak.
“Saya menyeru pihak yang terbabit dalam industri dapat berganding bahu untuk bekerjasama dengan rakan strategik di wilayah pada masa akan datang.
“Pesanan saya, walau apa pun perancangan yang dibuat dalam membangunkan identiti bandar dan perbandaran, pendekatan kesejagatan dan pengaruh luar yang melunturkan identiti kewilayahan serta tidak mendukung pembinaan setempat mestilah dihindari.
“Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pernah menyebut seni bina bukan sahaja memberi bentuk mudah dikenal tetapi ia juga menunjukkan kepada nilai serta pencapaian sesebuah negara dan juga ketamadunannya,” katanya.
Sumber: Berita Harian
Comments