top of page

Harga bahan binaan utama turun hampir separuh


Harga bahan binaan utama turun hampir separuh Berita Harian www.bharian.com.my
RHB Investment Bank mengekalkan saranan ‘overweight’ terhadap sektor pembinaan -NSTP/Asyraf Hamzah

KUALA LUMPUR: Harga bahan binaan utama seperti aluminium dan simen menunjukkan penurunan sehingga 44 peratus pada bulan lalu, demikian menurut RHB Investment Bank.


Penganalisisnya, Oong Chun Sung, berkata harga aluminium London Metal Exchange (LME) menjunam ke paras terendah pada AS$2,155 satu tan daripada paras puncak AS$3,878 satu tan pada Mac lalu yang merangkumi pembetulan harga sebanyak 44 peratus.


Katanya, pihaknya menjangkakan kelemahan harga aluminium LME dalam masa terdekat akan dihadkan oleh bekalan industri yang terhad sekarang biarpun adanya jangkaan bahawa langkah dasar monetari agresif oleh Rizab Persekutuan AS akan melemahkan harga LME dalam jangka terdekat.


"Harga simen pukal pula telah turun tiga peratus bulan ke bulan (MoM) kepada RM295.50 satu tan. Namun, ia 49 peratus lebih tinggi daripada paras purata harga jualan purata (ASP) sebelum pandemik yang berada pada RM198 satu tan.


"Pemulihan permintaan juga dihalang isu kekurangan buruh berterusan yang hanya akan mula bertambah baik pada 2023 apabila pekerja asing mula kembali secara berperingkat.


"Kami berpandangan bahawa kembalinya projek infrastruktur tempatan selepas Bajet 2023 dan wujudnya kestabilan politik (iaitu selepas pilihan raya) akan menjadi pemangkin sektor (pembinaan) dalam tempoh terdekat kelak," katanya dalam satu nota penyelidikan.


Mengenai permintaan kedua-dua bahan binaan itu, Chun Sung berkata, inventori LME merekodkan 332,175 tan setakat akhir September daripada paras 939,200 tan pada awal tahun ini.


Katanya, paras inventori terendah ini mungkin berpunca daripada permintaan yang bakal menurun, iaitu dasar sifar kes COVID-19 di China yang memberikan kesan buruk terhadap permintaan aluminium dan pengurangan pengeluaran dari rantau Eropah.


"Dengan mengikut angka pengeluaran Ogos, pengeluaran aluminium dunia mencatat pertumbuhan terpantas pada 2022, iaitu pada 3.8 peratus. Namun, kami yakin bekalan semasa yang terhad berlaku seiring dengan pemotongan bekalan dari Eropah Timur (akibat kos input tinggi), manakala potensi larangan dikenakan ke atas logam keluaran Russia akan terus menggugat paras inventori terhad sekarang, dan mendatangkan kesan positif kepada harga aluminium.


"Bagi simen, pada separuh pertama 2022, pengeluaran purata bulanan sebanyak 1.8 juta tan adalah lebih tinggi berbanding purata bulanan 1.6 juta tan sebelum pandemik memandangkan sektor ini mencatat peningkatan permintaan berikutan pembukaan semula ekonomi secara penuh.


"Bagaimanapun, keadaan operasi kian mencabar apabila berhadapan dengan isu kekurangan buruh dan tekanan kos sejak suku kedua, mengakibatkan pengeluaran simen menurun. Pada Julai, pengeluaran simen setiap bulan hanya mencecah 1.1 juta tan selepas mencapai paras puncak pada 2.5 juta tan pada Februari," katanya.


RHB Investment Bank mengekalkan saranan 'overweight' terhadap sektor pembinaan berikutan bekalan aluminium global yang terhad, peningkatan usaha nyahkarbon global terhadap kandungan aluminium karbon rendah dan pemulihan permintaan simen menunggu pelaksanaan projek-projek infrastruktur pasca pilihan raya umum.


Sumber: Berita Harian



26 views
bottom of page