
Pelan Pembangunan Pendidikan Malay- sia (PPPM) 2013-2025 menyatakan prasarana infostruktur di sekolah bukan lagi kehendak, bahkan menjadi keperluan.
Di sebalik hakikat itu, masalah capai- an internet di luar bandar dan pedalaman masih menyukarkan proses pendidikan seperti pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).
Awal bulan lalu, kita membaca berita dua pelajar adik-beradik dari Kelantan menempuh perjalanan sehingga 20 kilometer untuk menjalani proses pendidikan kerana ketiadaan peranti dan capai- an internet.
Begitu juga kisah pelajar luar bandar di Pulau Aman, Batu Kawan yang terpaksa berjalan ke hujung pulau untuk mendapatkan akses internet.
Kajian Pensyarah Kanan Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad menyatakan 65 peratus daripada 5,772 sekolah rendah kebangsaan (SRK) di seluruh negara berada di luar bandar dan pedalaman.
Sebanyak 600 sekolah pula dikategorikan sebagai sekolah daif dan tiada kemudahan asas seperti elektrik serta internet. Justeru, perkara ini menjadi antara faktor utama jurang pendidikan ketara antara bandar dengan luar bandar.
Kita memahami keperluan mendesak terhadap akses internet untuk membantu proses pendidikan Bagaimanapun, penyediaan infrastruktur bagi liputan jalur lebar memerlukan infrastruktur rangkaian kompleks dan projek bernilai besar.
Sebagai contoh, projek rangkaian jalur lebar berkelajuan tinggi (HSBB) dilancarkan sekitar 2010 ialah inisiatif jalur lebar antara Telekom Malaysia Bhd (TM) dan kerajaan bertujuan menyediakan sekurang-kurangnya 80 peratus capaian internet di seluruh negara.
Contoh lain, inisiatif Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) 2019-2023 untuk membina menara pencawang komunikasi dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM3 bilion. Ia membabitkan penyediaan kesalinghubungan di 151 perkampungan Orang Asli dan 210 mukim di seluruh negara.
Projek mega seperti ini sangat perlu dan tidak dinafikan kepentingannya. Ia sebahagian tanggungjawab kerajaan bagi menyediakan infrastruktur dan kemudahan terbaik kepada rakyat.
Projek seperti ini bakal menyumbang kepada produktiviti negara, sekali gus diperlukan bagi meluaskan capaian rangkaian berskala nasional.
Namun, kenapa kita masih mendengar rungutan masyarakat terhadap capaian internet? Ini biasanya kerana infrastruktur mega seperti ini berada pada radius komunikasi tertentu dan tidak direka untuk masuk ke kawasan perkampungan terpencil serta tidak tersusun.
Justeru, kita memerlukan penyelesaian infrastruktur baharu bagi memurnikan lagi kualiti capaian internet di kawasan terbabit.
Kelulusan projek sebesar ini juga agak lambat dan hanya boleh dibuat pada peringkat pembuat dasar seperti Parlimen. Jika kita boleh mencari alternatif projek jalur lebar lebih murah dan boleh diluluskan pada peringkat daerah itu yang terbaik.
Seni bina projek alternatif ini juga mesti ringkas dan dapat dibangunkan cepat. Komuniti setempat seperti anak kampung yang berjaya boleh sama-sama mendanai dan berganding bahu membinanya.
Infrastruktur baharu lebih murah ini dijangka dapat memurnikan lagi kualiti capaian internet di luar bandar dan pedalaman yang berselerak. Ini bukan bertujuan menggantikan infrastruktur utama, sebaliknya ia diperlukan bagi menyempurnakan lagi infrastruktur rangkaian terbabit.
Infrastruktur baharu ini merangkumi beberapa bahagian penting seperti penggalak isyarat 4G LTE, penghala trafik rangkaian, hab pintar beserta konfigurasi VLAN dan bahagian terakhir adalah titik akses.
Jika kawasan terlalu jauh, peranti gelombang mikro diperlukan untuk penalaan isyarat secara titik ke titik. Penyedia rangkaian 4G dan 5G juga boleh menawarkan pakej data lebih baik untuk kegunaan masyarakat luar bandar.
Infostruktur baharu ini dianggarkan sekitar RM15,000 hingga RM20,000 dan boleh mengurus trafik internet sebanyak 200 ke 400 orang pada satu-satu masa. Ia juga gabungan beberapa teknologi yang sudah digunakan syarikat besar di bandar.
Diharap cadangan ini dapat mencambahkan idea penyelesaian kepada masalah capaian internet. Kita tidak mahu kisah adik Atiqah dari Keningau yang tertekan untuk menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kerana ketinggalan dalam PdPR berlaku lagi.
Kita juga tidak mahu berlaku generasi keciciran disebabkan ketinggalan dalam proses pendidikan.
Penulis adalah Pensyarah Kanan Fakulti Sains Komputer dan Matematik, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Perak
Sumber: Berita Harian