KUALA LUMPUR: Glostrext Bhd (Glostrext), pakar instrumen dan ujian geoteknik yang beroperasi di Malaysia dan Singapura diperbadankan pada tahun 1992, yang akan disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia tidak lama lagi, sudah memiliki pengalaman selama 31 tahun dalam industri pembinaan.
Syarikat juga mencipta rekod prestasi dengan beberapa projek yang agak besar dan terkenal seperti KLCC, PNB 118, Jewel Changi Airpot, Rapid Transit System dan Naga 3 Integrated Entertainment Complex.
Ia kini sedang melaksanakan khidmat serta kerja berkaitan cerucuk, struktur dan geoteknik, yang mana merangkumi perkhidmatan perkakasan, pengujian dan pemantauan kepada projek pembinaan, terowong serta bangunan dan infrastruktur yang telah siap.
Glostrext dalam satu kenyataan berkata, ia mengekalkan hubungan perniagaan yang baik dengan pelanggan terkemuka mereka seperti TPW Engineering dan Pintary Foundations telah menyediakan asas kukuh kepada pertumbuhan dan pengembangan perniagaan pada masa akan datang.
Kemampuan Glostrext di rangsang oleh peningkatan penawaran perkhidmatannya dengan penggunaan teknologi dengan memberi tumpuan kepada mempromosikan perkhidmatan instrumentasi dan pemantauan struktur dan tanah di luar tapak menggunakan platform Glostrext WiNA, di mana penawaran tersebut sejajar dengan trend semasa kerana banyak perniagaan dan syarikat mencari automasi serta meningkatkan kecekapan operasi dan mengurangkan pergantungan kepada tenaga kerja.
"Kumpulan berhasrat untuk mengembangkan perkhidmatan pemantauan ke pasaran Singapura serta bergerak ke hadapan di samping meninjau beberapa peluang besar dalam sektor pembinaan Malaysia yang disokong oleh peningkatan peluang perbelanjaan awam dan swasta di Malaysia seperti HSR, KUTS, laluan LRT baru di Pulau Pinang.
"Malah, dalam Tinjauan Ekonomi dan Fiskal serta anggaran hasil kerajaan Persekutuan telah mengunjurkan KDNK pembinaan berkembang dengan 6.1 peratus pada 2023 diterajui oleh beberapa projek baharu seperti LRT3, ECRL dan lain-lain. Kemunculan peluang dijangka berpotensi memberi manfaat kepada Kumpulan dan mendorong pertumbuhan pasaran instrumentasi dan pemantauan geoteknik," kata Glostrext.
Dalam tinjauan pasaran yang dilakukan terhadap Glostrext, syarikat tersebut telah mencatatkan prestasi kewangan yang tidak sekata dari FY20 hingga FY23.
Prestasi itu terutamanya disebabkan oleh penggantungan mandatori aktiviti pembinaan yang dikenakan oleh kerajaan Singapura dan Malaysia untuk membendung penularan COVID-19.
Bagaimanapun, tinjauan menjangkakan kumpulan akan kembali kepada trajektori pertumbuhannya pada FY24 dan FY25, disokong oleh pemulihan dalam sektor pembinaan dan aktiviti ekonomi ditambah dengan kemunculan peluang daripada beberapa projek infrastruktur mega yang disebutkan di atas.
Ramalan keuntungan bersih FY24 berjumlah RM7 juta yang diunjurkan berkembang pada 70 peratus dari tahun ke tahun pada FY24F dan 31 peratus tahun ke tahun tahun ke tahun pada FY25F kepada RM 9.2 juta.
Melangkah ke hadapan, Glostrext menjangkakan margin Kumpulan akan berkembang terutamanya disebabkan oleh penggunaan teknologi (platform WiNA) yang akan meningkatkan kecekapan untuk meningkatkan marginnya.
Permintaan didorong oleh keperluan pengawalseliaan dan keselamatan di mana Kumpulan berada pada kedudukan yang baik untuk mendapat manfaat daripada keperluan mandatori atau pematuhan terhadap ujian cerucuk serta pemantauan struktur dan darat oleh kerajaan Singapura dan Malaysia.
Terdapat peningkatan kesedaran dan kawal selia keselamatan berikutan beberapa kemalangan besar seperti runtuhan Lebuhraya Nicoll di kedua-dua negara yang dikendalikan oleh kumpulan.
Di Singapura, ujian beban cerucuk adalah wajib bagi aktiviti cerucuk untuk semua bangunan dan infrastruktur pembinaan dan semua ujian beban cerucuk perlu dikemukakan kepada Pesuruhjaya Kawalan Bangunan dan perkhidmatan ujian geoteknikal adalah wajib bagi projek pembinaan di bawah pengawasan JKR.
Permintaan perkhidmatan oleh Kumpulan dijangka berkembang dan Glostrext berada pada kedudukan yang baik untuk merebut peluang perniagaan.
Berikutan prestasi semasa Glostrext, tinjauan pasaran meletakkan sasaran 32 sen untuk sahamnya.
Penilaian adalah berdasarkan 14x PER daripada EPS FY25F Glostrext sebanyak 2.3 sen yang sejajar dengan purata ke hadapan 12 bulan PER Indeks Pembinaan Bursa Malaysia.
"Harga sasaran yang disasarkan sebanyak 32 sen mewakili kenaikan 67 peratus berbanding harga penyenaraian 19 sen," katanya.
Sumber: Berita Harian
Glostrext miliki lebih 30 tahun pengalaman dalam industri pembinaan
Comments