top of page

Global Gateway bakal beri saingan hebat kepada inisiatif Belt and Road



LONDON: Kesatuan Eropah (EU) dijangka mendedahkan butiran mengenai sebuah pelan pelaburan di peringkat global hari ini, yang dilihat bakal memberi saingan hebat kepada inisiatif Belt and Road China.


Lapor BBC, menurut sumber dalaman, EU akan mengemukakan ‘idea-idea konkrit’ berkaitan skim digital, pengangkutan, tenaga dan iklim.


Langkah itu dianggap sebagai sebahagian usaha Barat untuk menentang pengaruh China di Afrika dan negara lain.


Presiden Suruhanjaya Eropah, Ursula von der Leyen dijangka membentangkan inisiatif Global Gateway.


EU kini sedang menilai cara untuk memanfaatkan kewangan berbilion euro dimilikinya yang diperoleh menerusi negara anggota, institusi kewangan dan sektor swasta.


“Kami mahukan pelaburan dalam infrastruktur berkualiti yang menghubungan barangan, manusia dan perkhidmatan di seluruh dunia,” kata von der Leyen dalam satu ucapan September lalu.


Dilaporkan, dokumen setebal 14 muka surat mungkin tidak menyatakan secara eksplisit bahawa projek itu merupakan saingan kepada strategi China.


Malah, suruhanjaya itu sebelum ini pernah mengelak daripada menyebut nama China apabila ditanya mengenai inisiatif tersebut.


Sementara itu, felo kanan trans-Atlantik di German Marshall Fund, Andrew Small berpandangan inisiatif Global Gateway mungkin tidak wujud sekiranya tiada projek Belt and Road.


Katanya, langkah EU itu menandakan usaha serius pertama dari pihak Eropah untuk merangka dan memikirkan mekanisme pembiayaan.


“Jadi, negara-negara yang mempertimbangkan untuk mengambil pinjaman dari China kini mempunyai pilihan alternatif,” katanya.


Menurut Small, seorang diplomat pernah menyatakan kepadanya tindakan Eropah memperluaskan pengaruhnya di kawasan tersebut merupakan petanda yang amat baik.


“Itu adalah kepentingan bersama yang kami kongsi dengan rakan trans-Atlantik kami di Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom (UK),” katanya.


Dalam pada itu, felo kanan di Pusat Pembangunan Global, Scott Morris pula menyifatkan kepentingan bersama itu dikhuatiri boleh mewujudkan lebih banyak persaingan.


“Lagipun, AS mempunyai inisiatif mereka iaitu Build Back Better World yang dilancarkan semasa sidang kemuncak G7, Jun lalu.


“Ia merupakan kawasan dipenuhi dengan banyak pihak bertembung antara satu sama lain,” katanya.


Bagaimanapun, Morris berharap agar inisiatif Global Gateway itu mencapai kejayaan.


“Selain isu bersaing dengan China, ia merupakan peluang terbaik bagi Eropah untuk mencapai skala pembiayaan yang boleh memberi manfaat kepada negara-negara membangun yang hanya memerlukan sedikit modal,” katanya.


Inisiatif Belt and Road menjadi bahagian penting dasar luar China seperti membangunkan hubungan perdagangan dengan melabur wang dalam pembinaan jalan raya, pelabuhan, kereta api, jambatan yang baharu.


Strategi inisiatif itu juga sudah mencecah di Asia, IndoPasifik, Afrika dan juga negara jiran EU, Balkan Barat.


Inisiatif itu dikritik hebat dan dilabel sebagai ‘diplomasi perangkap hutang’.


Dilaporkan, jejak ekonomi dan geopolitik China semakin berkembang ketika ketegangan meningkat dengan Barat.


6 views
bottom of page