
MELAKA: Polis menumpaskan kegiatan satu kumpulan penjenayah dikenali sebagai `Geng Bhai' yang aktif memecah masuk kawasan pembinaan dan mencuri peralatan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 ketika ini.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad, berkata hasil risikan, polis membuat dua serbuan berasingan di sebuah rumah di Taman Desa Cheng Perdana dan sebuah hotel di Batu Berendam, di sini.
Hasil serbuan itu, polis menahan empat lelaki dan seorang wanita berusia dalam lingkungan 21 hingga 45 tahun.
"Kumpulan terbabit mula aktif sejak PKP 1.0 pada pada Mac tahun lalu dan sudah melakukan sembilan pecah masuk tapak pembinaan sekitar Tanjung Minyak, Tengkera dan Malim dengan mencuri pelbagai barangan yang dianggarkan bernilai RM500,000.
"Modus operandi kumpulan ini adalah dengan menyasarkan tapak pembinaan kosong yang ditinggalkan sepanjang PKP dan tidak mempunyai pengawal keselamatan sebelum kumpulan ini akan mencuri pelbagai peralatan dan bahan pembinaan.
"Kumpulan ini juga turut dikesan memecah masuk sebuah rumah contoh di Tanjung Minyak serta mencuri pelbagai perabot serta barangan berharga yang ada dalam rumah berkenaan," katanya hari ini.
Afzanizar berkata, hasil siasatan mendapati kumpulan itu diketuai seorang lelaki berusia 42 tahun yang dikenali sebagai `Bhai' selain semua yang ditahan itu mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.
Polis turut menemui pelbagai barangan yang dicuri daripada tapak pembinaan termasuk peralatan seperti gerudi, mesin pembancuh simen serta penghawa dingin. Semua barangan itu akan dijual kepada kenalan rapat mereka dan polis tidak menolak kemungkinan ia juga akan dijual di kedai barangan lusuh.
"Semua suspek yang juga penganggur direman selama 12 hari bermula 3 Jun lalu dan kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan," katanya.
Sumber: Berita Harian
Comentários