top of page

Garis panduan pengambilan pasir sungai akan ditambah baik


TUAN Ibrahim Tuan Man (kanan) melawat lokasi paip dasar sungai Tangki Berangan yang patah berdekatan Pulau Sekati di Kuala Terengganu hari ini. - PUQTRA HAIRRY ROSLI

KUALA TERENGGANU: Kerajaan akan menambah baik Garis Panduan Pengambilan Pasir Sungai (Pindaan 2020) bagi memastikan aktiviti berkenaan dilakukan secara sistematik di samping memberi kesan minimum kepada kerosakan alam sekitar.


Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, antara yang akan diperincikan ialah soal penandaan paip di dasar sungai.


Katanya, kaedah itu penting supaya setiap projek pembangunan yang dijalankan dapat mengambil kira faktor jajaran paip sekali gus mengelak sebarang kejadian tidak diingini termasuk kerosakan.


“Tindakan boleh diambil jika wujud pelanggaran garis panduan cuma kadang-kala kesan kerosakan bukan di lokasi kerja-kerja pengambilan pasir itu dan mungkin dilihat 15 tahun kemudian berikutan pergerakan pasir yang membentuk kawah.


“Bagaimanapun, kejadian paip patah di Terengganu saya dapati bukan disebabkan kecuaian,” katanya dalam sidang akhbar selepas melawat lokasi paip dasar sungai Tangki Berangan berdekatan Pulau Sekati di sini hari ini.


Yang hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr. Mamad Puteh; Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Datuk Ahmad Faizal Abdul Rahman dan CEO Syarikat Air Terengganu Sdn. Bhd. (Satu), Abdul Karim Endut.


Krisis air 2.0 membabitkan 29,151 pengguna di sebahagian daerah ini dan Kuala Nerus sejak 23 Ogos lalu dijadualkan pulih pada 12 September ini.


6 views

Comments


bottom of page