KUALA LUMPUR: Gamuda Bhd merancang untuk memacu Malaysia menjadi pemain utama tenaga boleh diperbaharui (RE) di peringkat serantau, selaras dengan aspirasi kerajaan untuk memupuk sektor RE domestik.
Pengarah Urusan Kumpulannya, Datuk Lin Yun Ling, berkata bagi tujuan itu Gamuda memperuntukkan pelaburan sebanyak RM2 bilion dalam tempoh tiga tahun akan datang seiring dengan pelan perniagaan lima tahunnya.
Beliau berkata, langkah itu juga membolehkan kumpulan mengambil bahagian secara aktif dalam peralihan dunia kepada sifar bersih, selaras dengan Pelan Hijau Gamuda yang komited untuk mengurangkan intensiti pelepasan karbon sebanyak 30 peratus pada 2025 dan 45 peratus pada 2030
Katanya, penyertaan Gamuda dalam perniagaan RE tidak hanya tertumpu kepada pemasangan tenaga solar dan ladang solar semata-mata tetapi merangkumi keseluruhan industri.
"Industri RE mempunyai banyak peluang besar dengan permintaan terhadapnya dijangka meningkat dalam tempoh beberapa tahun akan datang.
"Di Malaysia kita masih lagi dalam situasi yang tidak kukuh untuk industri RE ini berbanding negara lain seperti Amerika Syarikat (AS)," katanya selepas mesyuarat agung tahunan (AGM) Gamuda di sini hari ini.
Yun Ling berkata, Gamuda baru-baru ini juga sudah mengambil alih 30 peratus kepentingan ekuiti dalam ERS Energy Sdn Bhd, sebuah firma pembinaan dan pentauliahan kejuruteraan tenaga solar, pada harga tunai RM200 juta.
Beliau berkata, Gamuda akan melanggan 4.29 juta saham dalam ERS Energy, yang kini menjadi rakan usaha sama nya dalam NEDA Pekan Sdn Bhd untuk membangunkan loji kuasa solar 39 megawatt di bawah rangka kerja Susunan Penghantaran Baharu Yang Dipertingkatkan (NEDA).
Apabila selesai pengambilalihan itu katanya, ERS Energy akan menjadi syarikat bersekutu 30 peratus dan Gamuda akan secara efektif memegang 64 peratus daripada NEDA Pekan.
Katanya, hasil daripada langganan saham itu akan digunakan untuk pelaburan langsung ERS Energy ke dalam aset pertambahan tunai penjanaan solar, termasuk NEDA Pekan serta modal kerja untuk peluang tenaga boleh diperbaharui dan pengembangan dalam pasaran serantau.
"Pelaburan strategik dan perkongsian dengan ERS Energy adalah langkah konkrit dalam langkah RE skala besar Gamuda. ERS sudah mempunyai RM1.4 bilion buku pesanan dalam tangan, yang menyumbang kepada prestasi kewangan 2023 dan 2024.
"Rancangan RE kami juga menjangkau di luar sempadan Malaysia. Australia adalah pasaran sangat penting dan utama untuk Gamuda. Oleh itu, kami sedang mencari untuk membangunkan beberapa projek pam hidro di pasaran Australia dalam tempoh akan datang seperti yang sedang kami bida di Tasmania.
"Kami percaya RE bukan sekadar solar. Ia adalah mengenai mempunyai sumber tenaga hijau yang mencukupi untuk memenuhi permintaan pasaran, yang kami fikir akan menjadi besar," katanya.
Sumber: Berita Harian
Comments