
KUALA LUMPUR: Gamuda Bhd (Gamuda) dan Lingkaran Trans Kota Holdings Bhd (Litrak Holdings) sudah melupuskan semua kepentingannya dalam empat lebuh raya kepada Amanat Lebuhraya Rakyat Bhd (ALR).
Gamuda berkata, perjanjian jual dan beli saham (SSPA) sudah berjaya diselesaikan dengan ALR.
Katanya, semua syarat di bawah Surat Tawaran Bersyarat (CLOO) sudah dipenuhi dan mendapat lebih 99 peratus kelulusan pada Mesyuarat Agung Luarbiasa (EGM).
"Setiap syarikat induk konsesi telah menandatangani SSPA. Ia masing-masing dimuktamadkan dengan ALR untuk pelupusan," katanya kepada BH.
Gamuda dan LITRAK telah mengadakan EGM bagi membincangkan perkara itu masing-masing pada 27 Julai 2022 dan 5 Ogos 2022.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia baru-baru ini, Gamuda melupuskan semua kepentingannya dalam Kesas Sdn Bhd; Sistem Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat Sdn Bhd; Lingkaran Trans Kota Sdn Bhd dan Syarikat Mengurus Air Banjir dan Terowong Sdn Bhd kepad ALR.
Perkara sama turut dilaksanakan Litrak Holdings yang melupuskan semua sekuritinya di dalam Lingkaran Trans Kota Sdn Bhd dan Sistem Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat Sdn Bhd kepada ALR.
"Semua syarat seperti yang ditetapkan dalam CLOO telah dipenuhi pada 5 Ogos 2022.
"Sehubungan itu, Litrak Holdings dan SPRINT Holdings telah memasuki SSPA Dimuktamadkan dengan ALR untuk tujuan pelupusan," katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia.
ALR, sebuah syarikat swasta yang semua pemegang sahamnya bukan berasaskan keuntungan sebelum ini mengumumkan akan mengambil alih konsesi empat lebuh raya.
ALR yang dipengerusikan Tan Sri Azlan Mohd Zainol, akan mengambil alih Lebuhraya Shah Alam (KESAS), Sistem Pengurusan Air Banjir dan Terowong (SMART), Lebuhraya Skim Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat (SPRINT) dan Lebuhraya Damasara-Puchong (LDP).
Syarikat itu juga memberi jaminan tidak akan berlaku pengabaian kakitangan empat syarikat konsesi lebuh raya dan mereka terbabit dalam pengambilalihan.
Pengambilalihan empat lebuhraya oleh ALR akan merangkumi semua infrastruktur dan aset yang sedia ada termasuklah aset yang terpenting iaitu tenaga kerja.
Sumber: Berita Harian