KUALA LUMPUR: Gamuda Engineering dan Bosch Rexroth baru-baru ini memeterai memorandum persefahaman (MoU) bagi meningkatkan daya saing industri pembinaan Malaysia melalui kecekapan dalam automasi.
Bosch Rexroth adalah penyedia penyelesaian teknologi untuk hidraulik dan automasi kilang dari Jerman.
Syarikat kejuruteraan tempatan itu dalam satu kenyataan berkata, kerjasama itu akan dilakukan melalui tawaran kursus pembelajaran yang ditambahbaik, menjadikan modul latihan industri 4.0 berasaskan pensijilan dari Jerman sebagai rujukan.
"Modul latihan yang ditambah baik ini akan memenuhi keperluan untuk projek tempatan dan antarabangsa akan ditawarkan melalui akademi latihan Gamuda.
"Selepas itu, ia akan menghasilkan faedah berganda dalam pengembangan kumpulan bakat yang berkualiti dan berstandard antarabangsa dalam automasi.
"Dengan menyediakan penyelesaian kejuruteraan dan infrastruktur bertaraf dunia yang canggih dengan bakat tempatan, Gamuda terus meningkatkan kelestarian melalui pembinaan membulat dan digitalisasi," katanya.
Pengarah Urusan Gamuda Engineering, Datuk Ubull Din Om, berkata kejayaannya dan kemajuan teknologi masa depan sangat bergantung pada kemajuan teknologi.
"Dipandu oleh Rancangan Hijau Gamuda 2025 di seluruh kumpulan dengan komitmen untuk meningkatkan pembangunan bakat dan digitalisasi, perkongsian dengan Bosch Rexroth akan membolehkan kami melengkapkan bakat tempatan dengan modul latihan komprehensif yang diiktiraf di seluruh dunia serta disesuaikan untuk menangani cabaran industri dengan set kemahiran 4.0 yang bertahan lama," katanya.
Pada 2011, Bosch Rexroth adalah salah satu rakan antarabangsa Gamuda yang bekerjasama dalam menubuhkan Tunneling Training Academy (TTA) di Shah Alam, dengan pelaburan RM12 juta.
TTA adalah akademi pertama di dunia untuk pembelajaran mengenai terowong mekanik dan mengendalikan Tunnel Boring Machine (TBM).
Sementara itu, Pengarah Urusan Bosch Rexroth Sdn Bhd, Michel Gunawan, berkata digitalisasi bukan hanya membolehkan pemantauan jarak jauh untuk sistem dan mesin, malah menyediakan ketelusan lebih tinggi dalam proses.
"Dengan penyelesaian IoT kami, juruteknik dapat menganalisis data dari mesin, mengesan anomali dan kemungkinan kerosakan pada peralatan dan proses.
"Dengan penyelenggaraan yang boleh diramalkan, mereka dapat mengurangkan waktu henti dan kehilangan pendapatan yang tidak dirancang.
"Kesalinghubungan juga menawarkan peluang baharu untuk perniagaan tangkas berkembang dalam masa tidak menentu ini," katanya.
Sumber: Berita Harian
Comentários