top of page

Gagasan Nadi Cergas bida tender projek lebih RM1.7 bilion


Wan Azman Wan Kamal. - NSTP/ SYARAFIQ ABD SAMAD

KUALA LUMPUR: Gagasan Nadi Cergas Bhd menyasarkan untuk memperoleh lebih banyak kerja pembinaan dengan tender projek melebihi RM1.7 bilion pada tahun akan datang ketika negara dalam peralihan daripada pandemik ke endemik, kata Pengarah Urusan Kumpulan, Wan Azman Wan Kamal.


Perolehan tender kumpulan merangkumi bidaan daripada sektor swasta dan awam, termasuk projek penting seperti hospital dan kemudahan penjagaan kesihatan.


"Ketika negara dalam proses peralihan, kami menjangkakan permintaan yang lebih besar untuk projek penting yang memenuhi aspirasi rakyat, seperti hospital dan kemudahan kesihatan.


"Kami juga percaya bahawa kepakaran kami yang luas dalam merancang dan membina pelbagai bangunan penting selama 26 tahun yang lalu menempatkan kami di peringkat yang memberangsangkan dalam tender kami," katanya dalam satu kenyataan sempena mesyuarat agung tahunan syarikat hari ini.


Wan Azman menambah bahawa hasil tender yang memuaskan itu akan melengkapkan tempahan kontrak kumpulan bernilai RM1.6 bilion setakat 31 Mac 2021, yang terdiri daripada enam projek yang sedang berlangsung dan beberapa projek lain yang akan dimulakan tidak lama lagi.


Projek semasa kumpulan termasuk pembinaan kampus Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di Bagan Datuk di Perak dan Dungun di Terengganu; Pusat Kardiologi Hospital Serdang di Serdang, Selangor; pangsapuri kediaman awam bertingkat di Presint 11, Putrajaya; pembangunan bercampur Selindung di Ulu Yam; dan Antara Residence Condominium bertingkat di Presint 5, Putrajaya.


Sementara itu, Gagasan Nadi Cergas telah mendapat kebenaran daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) bagi meneruskan operasi dengan pematuhan yang ketat prosedur operasi standard Kementerian Kesihatan.


"Kami berada di landasan yang tepat untuk mencapai kadar vaksinasi penuh dalam kalangan pekerja pada akhir September 2021. Ini akan membantu mempercepatkan kemajuan dalam kerja-kerja pembinaan kumpulan untuk projek yang sedang berjalan dan memulakan projek yang akan datang," tambah Wan Azman.


Projek akan datang oleh syarikat itu merangkumi projek perumahan Rumah SelangorKu di Serendah; Rumah Idaman di Bukit Jelutong dan Elmina Shah Alam; dan dua projek perumahan mampu milik bertingkat untuk Paramount Corporation Bhd di Selangor. -- Bernama


Sumber: Berita Harian

164 views

コメント


bottom of page