top of page

Enggan pindah punca projek Pan Borneo perlahan


PROJEK Pan Borneo

Kota Kinabalu: Kedegilan pemilik rumah dan struktur bangunan yang berada di laluan Lebuhraya Pan Borneo Sabah enggan berpindah walaupun sudah menerima pampasan antara punca kelembapan projek itu.


Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, keadaan itu menyukarkan kontraktor melaksanakan kerja sekali gus melambatkan proses pembinaan di sesetengah laluan lebuh raya berkenaan.


Katanya, kerajaan juga tidak mengambil tindakan untuk mendesak pemilik rumah berpindah segera kerana mengambil kira situasi pandemik Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan sebelum ini.


"Kerajaan amat bertimbang rasa ketika tempoh sukar ini dengan memberi kesempatan kepada pemilik rumah sehingga situasi pandemik semakin reda," katanya ketika menggulung perbahasan Kementerian Kerja Raya Sabah pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, yang berlarutan hingga jam 10.30 malam tadi.


Bung Moktar yang juga Menteri Kerja Raya negeri, berkata PKP juga menyebabkan pelaksanaan kerja pembinaan yang perlahan berikutan rantaian bekalan bahan binaan bagi projek itu turut terjejas.


Beliau turut mengakui, kelembapan projek itu menjadi punca kesesakan lalu lintas di sesetengah kawasan, khususnya di laluan yang menggunakan jalan raya sedia ada.


Bagaimanapun, katanya kerajaan sedang berusaha untuk menyusun semula perancangan bagi mempercepatkan projek lebuh raya berkenaan supaya dapat disiapkan lebih cepat berbanding jadual.


Ketika ini, sebanyak 11 daripada 35 pakej pembinaan Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah di bahagian pantai barat sedang dilaksanakan bermula dari Sindumin di sempadan Sabah dan Sarawak hingga ke Kudat dengan pencapaian setakat ini kira-kira 54 peratus.


Sementara itu, Bung Moktar berkata, kerajaan akan melaksanakan kajian mengenai cadangan pembinaan landasan kereta api di seluruh negeri termasuk menghubung ibu negeri dengan Kudat utara, kawasan pantai timur dan pedalaman bawah Sabah.


"Peruntukan sebanyak RM1 juta sudah disediakan untuk maksud kajian ini di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) yang akan dilaksanakan pada awal 2022," katanya.


Katanya, kerajaan juga akan meneruskan projek menaik taraf landasan kereta api dari Halogilat, Beaufort ke Tenom yang kini berada di peringkat akhir kerja penyiapan dan dijangka selesai pada akhir bulan ini.


Beliau berkata, projek di bawah pembiayaan kerajaan persekutuan melalui Kementerian Pengangkutan dengan kos RM49.5 juta itu mengalami kelewatan disebabkan pandemik Covid-19 selain keadaan cuaca yang tidak menentu di tapak bina.


"Bagi memastikan keseluruhan landasan di jajaran ini dinaik taraf, kerajaan negeri melalui Jabatan Keretapi Negeri Sabah (JKNS) juga sedang melaksanakan projek menaik taraf landasan kereta api dari Stesen Tenom ke Tenom lama sepanjang 1.8 kilometer dengan kos RM5 juta dan dijangka siap pada Oktober 2022," katanya.


Sumber: Harian Metro

324 views
bottom of page