top of page

Dua pantai di Labuan diancam hakisan kritikal


KEADAAN struktur binaan pejalan kaki di sepanjang pantai Kampung Sungai Miri dan Kampung Sungai Pagar yang sedang rosak dipukul ombak. FOTO Bernama.

Labuan: Lebih 20 pantai di pulau bebas cukai kini diancam hakisan dengan dua daripadanya di tahap kritikal.


Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Labuan Juniaddi Awang Tuah berkata, dua pantai itu ialah di Kampng (Kg) Sungai (Sg) Miri/Sg Pagar dan di pantai Terminal Minyak Mentah Labuan (LCOT) Kiamsam.


"Berdasarkan kajian hakisan pantai kebangsaan yang dijalankan pada 2015 yang masih relevan sehingga sekarang lebih daripada 20 kawasan pantai akan mengalami hakisan.


"Kajian meramalkan kawasan paling teruk terjejas adalah di pantai Sg Miri dan Kiamsam… dan kajian telah terbukti," katanya kepada Bernama hari ini.


Beliau berkata, kerajaan telah meluluskan RM11 juta bagi pembinaan tembok penahan ombak di kawasan yang paling teruk terjejas di pantai Sg Miri/Sg Pagar.


"Projek tembok penahan ombak sepanjang 730 meter itu dibina pada November tahun lalu dan dijangka siap dalam tempoh November 2023, manakala di pantai LCOT kami menyediakan nasihat teknikal untuk syarikat minyak bagi penambahbaikan di kawasan pantai," katanya.


Juniaddi berkata, lama-kelamaan kawasan pantai di sekitar pulau itu akan terjejas teruk akibat hakisan, jika tiada langkah diambil untuk mengurangkan impaknya.


Selain itu katanya, usaha kerajaan untuk mengurangkan kerosakan akibat hakisan, dijangka menjadi semakin mahal.


Juniaddi berkata, dua pantai (Miri/Sg Pagar dan LCOT) diunjur kawasan paling teruk terjejas akibat hakisan pantai kerana kedudukan pantai itu yang menghadap Laut China Selatan.


Beliau berkata, jabatannya telah memohon peruntukan Kementerian Alam Sekitar dan Air sebanyak RM20 juta bagi pembinaan infrastruktur untuk melindungi pantai Tanjung Aru Nelayan.


Sumber: Harian Metro

5 views

תגובות


bottom of page